malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Latheefa: Saya sudah tinggalkan PKR
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Latheefa Koya telah melepaskan keanggotaannya dalam PKR semalam.

"Terima kasih atas nasihat. Tetapi saya telah menghantar (surat) peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta sebagai ahli biasa PKR semalam. 

"Ini selepas saya diberitahu mengenai pelantikan saya selaku ketua pesuruhjaya SPRM," katanya pada ciapan di Twitter petang ini.

Terdahulu ramai pihak yang menggesa bekas ketua biro undang-undang PKR itu supaya mengikut jejak langkah Mohamad Ariff Md Yusof yang melepaskan semua jawatan di dalam Amanah apabila dilantik menjadi speaker Dewan Rakyat.

MP Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata terpulang kepada Latheefa untuk keluar dari parti atau tidak, tetapi amat penting untuk orang ramai meyakini beliau benar-benar bebas daripada mana-mana pihak.

"Saya fikir rakyat Malaysia akan melihat pelantikan ini dengan positif selagi kami menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mewakili mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru.

"Ini bagi mengelakkan sama ada konflik kepentingan atau pandangan beliau bersikap berat sebelah, saya yakin cukup penting buat Latheefa menjarakkan dirinya atau tidak menjadi anggota mana-mana parti politik.

"Saya percaya dalam kes ini, sebagaimana contoh (yang ditunjukkan) speaker Dewan Rakyat, saya fikir KP SPRM juga perlu tidak berpihak dan tidak menjadi sebahagian daripada mana-mana parti, katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam suatu kenyataan mengumumkan Latheefa yang juga peguam dan pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM.

Kata PMO pelantikan Latheefa sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

PMO menyatakan Agong memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau.

Tempoh perkhidmatan Mohd Shukri sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.

Kata PMO keputusan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Untuk rekod Mohd Shukri dilantik mengetuai agensi antirasuah itu sejurus selepas PH berjaya mengetepikan BN sebagai kerajaan persekutuan pada Mei tahun lalu.

Lihat Komen