malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agus: Tolak walak pada ulama 'bermulut hodoh'
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM
ADS

Walaupun mengakui ulama wajar dihormati dan diteladani, penganalisis politik dan pensyarah universiti, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata golongan terbabit sepatutnya menunjukkan keperibadian mulia.

Katanya kualiti itu perlu ada pada seseorang yang digelar ulama, kerana penguasaan ilmu yang tinggi semata-mata tidak memadai.

Justeru kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu beliau tidak rela memberikan ketaatan kepada seseorang ulama "mulutnya hodoh".

Menulis di media sosial selepas mendengar satu ceramah politik Mohammad Agus membangkitkan persoalan sama ada ketaatan wajar diberikan kepada seseorang "ulama" yang perbuatannya tidak seiring dengan kata-kata.

Menurutnya beliau mendengar satu acara politik yang menyaksikan penceramahnya menekankan kemestian seseorang memberikan ketaatan dan walak kepada ulama kerana kedudukannya sebagai pewaris nabi.

"Apakah perlu kita patuh pada ulama yang apabila berceramah mulutnya hodoh (sering menyumpah orang)?

"Apakah perlu kita patuh pada ulama yang perbuatannya tidak sama dengan yang diucap?

"Apakah perlu kita patuh kepada ulama yang berbangga diri kononnya puaknya sahaja benar dan puak lain salah?" katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan ulama dari pihak mana yang disebutkan oleh pemerhati politik yang dikenali ramai itu.

Beliau ialah anak Kelantan yang memang dikenali sebagai penganalisis yang bersikap kritis dan tidak berpihak secara jelas kepada mana-mana parti.

Menurut Mohammad Agus selepas meneliti konsep ulama, beliau memutuskan untuk menolak walak dan taat kepada ulama yang bermulut hodoh tersebut.

“Bagi saya, ulama bukan sahaja perlu mempunyai ilmu yang tinggi, tetapi juga mesti memiliki akhlak dan peribadi yang terpuji,” katanya.

Lihat Komen