malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Henti alih perhatian rakyat terhadap skandal korupsi BN’
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 11:45 AM
Dikemaskini: 4:09 AM
ADS

Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil tampil membela presiden parti itu, Mohamad Sabu yang dibidas berhubung ucapannya baru-baru ini di sebuah persidangan antarabangsa.

Mohamad, yang merupakan menteri pertahanan, menyampaikan ucapannya pada Dialog Shangri-la - sidang kemuncak keselamatan IISS Asia ke-18 di Singapura pada 1 Jun lalu.

Berkongsi video ucapannya yang telah disunting itu, Presiden MCA, Wee Ka Siong kemudiannya mendakwa Mohamad telah memalukan negara dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

Hari ini, Faiz mengecam Wee berhubung kritikannya dan meminta bekas menteri itu supaya tidak cuba mengalihkan perhatian orang ramai dari skandal bernilai RM1 bilion yang membabitkan institusi awam seperti 1MDB, Felda dan Tabung Haji.

“Tindakan Wee adalah cubaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap skandal korupsi pemimpin kleptokrat Barisan Nasional antaranya bekas perdana menteri Najib Razak; isterinya, Rosmah Mansor, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi yang sedang berhadapan berpuluh pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan. .

Berhubung ucapan Mohamad, Faiz percaya bahawa kekhilafan linguistiknya tidak menjejaskan maksud keseluruhan mesejnya.

“Walaupun penguasaan Bahasa Inggeris penting sebagai medium komunikasi antarabangsa, namun ia bukanlah ukuran kompetensi dan kebijaksanaan seorang pemimpin kerana ramai juga pemimpin utama negara lain yang masih mengekalkan bahasa ibunda masing-masing di dalam dialog atau persidangan antarabangsa.

“Keberanian Mohamad Sabu untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di dalam sesi penting seperti dialog antarabangsa berkenaan isu keselamatan hendaklah dilihat dari sudut positif bahawa Malaysia mempunyai pendirian tegas memerangi ancaman keganasan atau terrorism,” kata Faiz.

Semalam, Wee menyenaraikan kesilapan Mohamad semasa ucapan menteri itu, yang bertajuk “Asia’s Evolving Security Order and its Challenges”.

Antara kesilapan itu, termasuk rujukan dari Mohamad kepada Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, seorang wanita sebagai "him".

Mengulas lanjut, Faiz berkata, rakyat perlu menilai intipati asas ucapan Mohamad dan bukannya kekhilafan yang langsung tidak mencacatkan substance ucapannya.

“Jika didengar semula ucapan Mohamad Sabu, beliau merujuk Perdana Menteri New Zealand sebagai ‘she’, namun di penghujung ayat menggunakan perkataan ‘him’ yang tidak mengubah intipati ucapan beliau yang tahu bahawa Perdana Menteri New Zealand adalah seorang wanita.

“Di samping itu, penggunaan perkataan ‘mother’ dan ‘father’ adalah merujuk kepada penaja pengganas yang merupakan terma biasa digunakan dalam counter-terrorism. Perkataan tersebut tidak seharusnya diterjemah secara literal.

“Justeru, rakyat perlu positif untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan yang diangkat atas suara keramat mahukan perubahan dilakukan. Perubahan asas yang sedang dilakukan kerajaan hari ini adalah memerangi rasuah dan korupsi dan usaha inilah yang menakutkan pemimpin Barisan Nasional,” katanya.

Lihat Komen