malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu iftar di gurdwara: Ikut sunnah nabi bukan tafsiran sendiri - Saifuddin
ADS

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggesa umat Islam untuk mengikuti ajaran dan amalan sebenar sunnah Nabi Muhammad SAW dalam aturan isu-isu hubungan antara agama.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata panduan sunnah nabi akan menghalang pihak tertentu daripada "merampas" pemahaman Islam.

"Perkara agama ini kita dipandu oleh sunnah Nabi Muhammad SAW dan amalan para sahabat. Saya sebagai seorang Muslim memberikan pandangan berdasarkan panduan apa yang diamalkan di zaman nabi dan para sahabat.

"Saya tidak mahu memberikan pandangan berasaskan cara orang Melayu Malaysia mahu memahami berdasarkan amalan di sini.

"Jadi ada di kalangan di negara ini, ada pihak mahu memberikan tafsirannya sendiri, itu hak mereka.

"Tetapi saya menggesa orang Islam cuba memahami ajaran sebenar Islam supaya tidak ada orang keliru. Jadi pandangan Islam tidak 'dirampas' oleh mana-mana pihak.

"Kalau kita ikut ajaran sebenar nabi, boleh (hubungan antara agama). Tapi di sini, kumpulan ini kata tak boleh, kumpulan itu kata tak boleh. Jadi kita ada masalah," katanya yang ditemui di Bukit Mertajam selepas majlis berbuka puasa malam tadi.

Selanjutnya, Saifuddin berkata panduan sunnah nabi dan amalan para sahabat cukup jelas dalam isu ini.

Beliau memberitahu kisah khalifah Umar al-Khatab yang menziarahi gereja ketika pemerintahannya dan meskipun dibenarkan menunaikan solat di rumah ibadat itu, beliau enggan berbuat demikian, sebaliknya bersembahyang di sebelah bangunan itu.

"Beliau tidak mahu wujud salah faham di kemudian hari mengenai hal itu. Bagaimanapun, Umar menunaikan solat di luar gereja dan hari ini sebuah masjid dibina bersebelahan gereja," kata MP Kulim-Bandar Bahru itu.

Menjawab soalan sekiranya orang Islam boleh mengunjungi tempat ibadat agama lain, Saifuddin berkata berdasarkan amalan nabi dan khalifah tiada halangan dalam berbuat demikian: "Jawapannya, ya (boleh).

Terdahulu, beliau dimina mengulas titah terbaru Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegur MP Johor Bahru Akmal Nasir kerana hadir majlis iftar hubungan antara agama di gurdwara Sikh di negeri itu pada Selasa lalu

Sultan Ibrahim bertitah tindakan itu tidak menjaga sensitiviti umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa.

Baginda juga bertitah acara seumpama itu di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada bukan Islam menyebarkan dakyah mereka.

Mengulas hal ini, Saifuddin memetik seorang sarjana Islam yang menulis sebuah buku bahawa orang bukan Islam memiliki kebebasan beribadat seiring dengan orang Islam, malah boleh melakukan ritual mereka di dalam masjid.

Beliau merujuk buku berjudul The Higher Objective of Humanity oleh Azman Hussin, yang memetik sirah Nabi Muhammad mengenai kunjungan rombongan Kristian dari Najran yang menziarahi Rasulullah SAW di Madinah.

Nabi Muhammad SAW menurut buku itu menyambut rombongan Kristian Najran di masjid, yang mana mereka dibenarkan melakukan ibadat mereka, jelas Saifddin.

"Apa maknanya? Maksudnya (Islam) membenarkan orang Kristian masuk ke dalam masjid. Dalam sirah ini, malahan mereka dibenarkan melakukan ibadat agama mereka.

"Dalam perkara agama sebegini saya tidak mahu dipandu bagaimana orang Melayu di Malaysia faham Islam. 

"Saya mahu dipandu oleh rujukan yang kuat. Rujukan contoh amalan Nabi sangat kuat, rujukan pada khalifah Umar yang hidup pada zaman nabi juga sangat kuat," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen