malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mesej tular Jho Low ditahan tidak tepat - IGP
Diterbitkan:  Jun 1, 2019 10:06 PM
Dikemaskini: 3:28 PM
ADS

Mesej tular yang mendakwa ahli perniagaan kontroversi, Jho Low telah ditahan di China adalah tidak tepat, kata Ketua Polis Negara, Hamid Bador.

"Kami sedang berusaha ke arah itu tapi tiada apa yang dimuktamadkan lagi. Mesej itu tidak betul," kata Hamid kepada media melalui kiriman WhatsApp hari ini.

Terdahulu mesej tersebar mendakwa Jho Low ditangkap oleh kerajaan China dan akan dibawa pulang ke Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa lokasi ahli perniagaan yang kini menjadi buruan itu telah diketahui.

"Kami hanya menunggu untuk membawa dia kembali," kata sumber itu.

Khamis lalu, Abdul Hamid membayangkan Jho Low akan dapat dibawa pulang dalam masa terdekat.

"Saya tak mahu mendahului (membuat pengumuman). Tetapi insha-Allah.

“Bila saya kata begitu saya yakin kita akan berjaya membawanya balik, dalam masa terdekat pun boleh, terjauh pun boleh,” katanya sambil ketawa.

Sebelum itu, Abdul Hamid berkata polis mempunyai "petunjuk baru" berkenaan lokasi Jho Low - yang gagal dikesan sejak 2015 - dan akan membawanya pulang "tidak lama lagi".

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB.

Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu.

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu didakwa di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Dia bagaimanapun enggan kembali ke Malaysia dengan mendakwa tidak akan mendapat perbicaraan adil di negara ini, selain mengelak daripada tindakan oleh pihak berkuasa AS.

Bekas perdana menteri, Najib Razak kini menghadapi perbicaraan terhadap 42 tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung skandal 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen