malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inkues Adib: Lepas desak AG letak jawatan, Ummah mahu anjur solat hajat
ADS

Selain laporan polis dan penghantaran memorandum, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) kini merancang untuk menganjurkan sembahyang hajat seluruh negara bagi menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Semalam Ummah membuat laporan polis terhadap Peguam Negara Tommy Thomas yang didakwa mereka cuba campur tangan dalam inkues berkenaan perkara itu, dan hari ini NGO itu menghantar memorandum ke pejabat peguam negara untuk mendesak peletakan jawatan Thomas.

"Hari ini kita menghantar memorandum mendesak peguam pegara letak jawatan kerana beliau sudah tidak berupaya mengendalikan beberapa isu besar dalam negara sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Selepas raya Ummah akan mengadakan solat hajat di seluruh negara agar maklumat yang benar diberikan dalam inkues kematian Muhammad Adib supaya mendapat keadilan yang sewajarnya," kata Timbalan pengerusi Ummah Kamaruzaman Mohamad di pejabat peguam negara di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk mendesak perkara sama.

"Jika tidak mendapat respons positif kita akan adakan himpunan raksasa menuntut keadilan buat Muhammad Adib," katanya lagi.

Hadir sama ialah pengerusi Ummah yang juga presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya.

Dalam laporan polis semalam, Ummah membangkitkan penarikan diri Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selepas 36 hari inkues berlangsung.


Baca: AG senaraikan empat alasan peguam dinasihat tarik diri


Dalam laporan itu, NGO itu menggesa Thomas disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan (berkenaan melindungi pesalah), Seksyen 219 Kanun Keseksaan (menggunakan jawatan secara tidak jujur dan berlawanan dengan undang-undang dalam prosiding) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (salah guna kedudukan sebagai peguam negara).

Pada 28 Mei lalu, Thomas berkata Syazlin tidak lagi mewakili KPKT dan bomba kerana wujud konflik kepentingan, memandangkan dia pada masa sama mewakili keluarga Muhammad Adib.

Selain itu, Thomas berkata perkembangan itu tidak menjejaskan status saksi pakar Prof Dr Shahrom Abd Wahid, yang sebelum ini mengatakan Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar daripada kenderaan EMRS dan dipukul.

Sementara itu, Kamaruzaman meluahkan kekecewaannya apabila tidak dapat menyerahkan sendiri memorandum kepada Thomas, sebaliknya hanya disampaikan kepada wakil peguam negara.

"Kita difahamkan peguam negara ada di atas (pejabatnya), tapi tidak mahu jumpa. Hanya beliau saja tahu alasannya," katanya lagi.

Lihat Komen