malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Konsensus nasional PTPTN sukar tapi boleh dicapai
ADS

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin mereka akan berjaya melaksanakan perubahan yang memuaskan dalam badan yang dibebani hutang itu.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata beliau faham tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak yang terlibat kerana kemahuan masing-masing adalah berbeza.

"Saya sedar ia bukan mudah untuk memenuhi kehendak semua pihak.

"Ada satu pihak nak kita macam ini, pihak lain juga nak macam lain, tapi insya-Allah kita akan usahakan untuk membina satu konsensus nasional (mengenai PTPTN)," katanya dalam ucapan di majlis berbuka puasa dengan media di Kuala Lumpur malam ini.

Ditemui media selepas itu Wan Saiful berkata, konsensus boleh dijayakan dengan langkah pertama untuk mendapatkan pandangan semua pemegang taruh (stakeholders) keutamaan mereka.

Sebagai contoh, katanya, sesetengah peminjam tidak mahu dibebankan oleh hutang manakala kumpulan pemegang taruh berkeras mahu ia dilunaskan bagi memastikan kelangsungan dana PTPTN.

"Saya rasa cadangan yang dipersetujui sebanyak mungkin pihak yang terlibat boleh dicapai.

"Memang akan ada orang yang tidak bersetuju dan ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat," katanya.

Menurut Wan Saiful, apa yang paling peling ialah PTPTN cuba sebaik mungkin untuk memastikan cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan nanti disokong oleh pandangan orang awam.

Sebelum ini cadangan dikemukakan kepada PTPTN supaya kerajaan menyenarai hitam peminjam culas - seperti yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini - dikecam hebat, termasuk dalam kalangan pemimpin PH.

Ketika isu pinjaman PTPTN diperdebatkan, Wan Saiful berharap lebih banyak pembabitan daripada kalangan ibu bapa dan bakal peminjam menyertai perbincangan tersebut.

"Setakat ini yang banyak bersuara ialah daripada kalangan peminjam.

"Hari ini saya nak menarik perhatian semua pihak lain - terutamanya mereka yang sekarang ini belum meminjam, tapi mungkin meminjam pada masa akan datang, ataupun mereka yang mempunyai anak-anak yang mungkin perlu pinjaman PTPTN pada masa akan datang.

"Semua mereka ini - walaupun sekarang tak buat pinjaman - amat penting supaya mereka bersuara supaya pandangan mereka dapat kita dengar agar harapan mereka dapat kita rakamkan dengan baik dalam proses konsultasi," katanya.

Lihat Komen