malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tindakan polis memanggil penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan anggota keluarga dua tahanan yang didakwa didera di IPD Klang Selatan bukan bermaksud mereka ditangkap, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ia merupakan proses biasa untuk pihak yang membuat dakwaan hadir untuk memberi keterangan dan penjelasan kepada polis.

"Jika ada pihak yang berani mengeluarkan tuduhan atau dakwaan mengenai kekejaman polis, jadi siasatan dijalankan di dalam.

"Apabila siasatan buntu, pihak polis akan memanggil orang yang membuat tuduhan untuk ditanya. Bukan ditangkap, (tetapi) ditanya," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Suaram D Sevan yang kecewa selepas penyelaras NGO itu serta anggota keluarga tahanan dipanggil untuk memberi keterangan.

Sevan berkata, ia selepas Ketua Polis Daerah Kelang Selatan Shamsul Amar Ramli membuat laporan polis berkenaan sidang media Suaram berkenaan perkara itu.

"Ketua polis daerah itu sepatutnya mengarahkan siasatan dibuat berhubung dakwaan penderaan oleh pihak keluarga terbabit, tetapi sebaliknya keluarga tahanan itu dan Suaram yang dipanggil memberi keterangan," katanya semalam.

Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai "gertakan dan penafian" terhadap pendedahan mereka.

Abdul Hamid berkata, tiada pihak yang perlu takut untuk memberi maklumat berkenaan penderaan dalam tahanan polis tetapi ia perlu dibuat secara bertanggungjawab.

"Kita akan ambil tindakan sewajarnya (berkenaan dakwaan itu). (Tetapi) kita ada hak untuk membela diri.

"Kalau benda (dakwaan) tak betul, kita (pula) akan ambil tindakan, buat laporan polis dan anda pula yang akan berdepan (tindakan)," katanya lagi.

Dalam kenyataan semalam, Sevan juga meminta Abdul Hamid campur tangan dalam siasatan itu

'Sudah ramai terima IPCMC'

Berkenaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Abdul Hamid berkata sudah ramai anggota polis yang menerima penubuhannya, dan kini hanya menunggu bentuk suruhanjaya tersebut dimuktamadkan kerajaan.

"Saya perjuangkan IPCMC ini agar rakyat tak kata polis tidak adil, kejam. Baiklah, saya akan beri peluang (kepada penubuhannya).

"Tetapi pada masa sama saya juga nak bela warga polis yang selama ini tak dapat hak sepatutnya daripada kerajaan," katanya, merujuk kepada apa yang menurutnya sebagai kedaan daif sesetengah balai dan kuarters pasukan itu.

Terdahulu terdapat pihak yang membantah penubuhan suruhanjaya itu yang dikatakan akan menghakis kuasa polis.

Bagaimanapun Abdul Hamid berkata kebimbangan itu telah terungkai ketika pertemuan pihaknya dengan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed pada 10 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata rang undang-undang (RUU) berkenaan IPCMC akan dibentang tahun ini bagi membolehkan ia ditubuhkan sebelum akhir tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen