Pengiklanan

    Dr M jamin keistimewaan bumiputera dalam rundingan projek dikekalkan

    (Dikemaskini )

    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan keistimewaan bumiputera dalam perniagaan termasuk rundingan tender akan terus dikekalkan dalam 'Malaysia Baru'.

    Diminta mengulas berhubung permintaan persatuan kontraktor bumiputera agar kerajaan memberikan kuota 20 peratus projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kepada kontraktor bumiputera, Dr Mahathir bagaimanapun berkata kerajaan belum memutuskan perkara itu.

    "Tidak, kita belum menetapkan kuota, tapi mereka (kontraktor bumiputera) minta 20 peratus.

    "Saya mahu jelaskan bahawa sistem lama memberikan keistimewaan kepada bumiputera masih dikekalkan. Termasuk rundingan tender, itu akan diteruskan," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahathir berkata, tender rundingan akan masih digunakan dalam 'kes khas'.

    "Sebagai contoh, (jika) syarikat mewakili beberapa kerjasama sebelumnya," katanya.

    Mengulas isu berasingan, Mahathir berkata beliau mengalu-alukan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) oleh bekas rakannya Ibrahim Ali.

    "Kita bebas untuk tubuhkan seberapa banyak parti politik yang kita mahu, bukankah bagus kalau kita ada 100 parti?

    "Dengan itu, orang Melayu akan berpecah 100 parti dan tak ada satu parti Melayu besar yang tunggal," katanya dengan nada sinis.

    "Kita sengaja agar negara kita terdiri daripada majoriti 60 peratus Melayu, tapi orang Melayu kini berpecah kepada empat parti. Tapi itu tak apa.

    "Kalau kita ada 100 parti, tak apa kalau itu yang orang Melayu mahu," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih