malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AG senaraikan empat alasan peguam dinasihat tarik diri
ADS

ULASAN l Kenyataan ini bertujuan untuk menjelaskan kekeliruan dan spekulasi yang timbul berhubung penarikan diri Syazlin Mansor, seorang peguambela dari Majlis Peguam Malaysia, daripada terus mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijalankan di hadapan koroner, Hakim Rofiah Mohamad di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Syazlin telah menerima pelantikan untuk mewakili KPKT dan JBPM di dalam prosiding inkues ini semasa beliau juga dilantik mewakili keluarga Allahyarham Adib.

Beliau sepatutnya menolak pelantikan kerajaan tersebut atas beberapa sebab.

Pertama, KPKT dan JBPM, sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada jabatan ini, dan peguam luar mestilah dilantik oleh peguam negara / pendakwa raya.

Kedua, Syazlin berada di dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili KPKT dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini.

Kepentingan pihak-pihak ini mungkin bertentangan, dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak.

Ketiga, pegawai-pegawai saya yang melaksanakan tugas mereka membantu koroner, telah memaklumkan kepada saya bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues ini, malah sering mengambil kedudukan yang bercanggah daridapa kedudukan yang diambil oleh timbalan pendakwa raya.

Perkara ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT.

Keempat, suami Syazlin adalah setiausaha akhbar kepada Menteri KPKT. Atas sebab-sebab di atas saya telah memohon agar Menteri KPKT untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan JPBM.

Saya amat terkejut apabila mendapat tahu melalui berita semalam bahawa Syazlin turut menarik diri daripada turut mewakili keluarga Allahyarham Adib.

Keputusan beliau itu dibuat secara rela dan tanpa sebarang pengaruh daripada jabatan ini.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa sebelum prosiding inkues bermula semalam, TPR Faten Hadni Khairuddin, salah seorang pegawai pengendali yang membantu koroner dalam inkues, telah bercakap secara peribadi dengan Syazlin dan memaklumkan bahawa jabatan ini tiada sebarang isu sekiranya beliau terus mewakili pihak keluarga Allahyarham Adib.

TPR Faten telah meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan dan Prof Dr Shahrom Abd Wahid boleh dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut.

Namun Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri.

Prof Shahrom adalah saksi pakar yang membantu koroner dalam inkues ini. Peranannya di dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan diri Syazlin sebagai peguam.

TPR Faten juga telah memaklumkan koroner bahawa jabatan ini bersedia untuk membantu koroner dengan mengeluarkan sepina kepada Prof Shahrom. Kami akan berbuat demikian.


TOMMY THOMAS adalah Peguam Negara.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen