BERITA

Ummah mahu demo kali ketiga untuk Adib

Haspaizi Zain

28 May 2019, 5:43 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Gerakan pembela Ummah (Ummah) sekali lagi mahu mengadakan perhimpunan selepas inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim didakwa menimbulkan keraguan susulan peguam Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor menarik diri semalam.

Sambil mendesak kerajaan mendedahkan punca penarikan diri peguam berkenaan, Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya juga ingin tahu atas "arahan" siapa Syazlin menarik diri.

Dakwanya, penarikan diri peguam itu menimbulkan banyak persoalan selain memberi gambaran wujud konspirasi oleh pihak tertentu bagi menentukan keputusan inkues.

"Ummah bagi pihak rakyat secara keseluruhannya dengan ini menuntut supaya surat yang mengarahkan penarikan diri Syazlin didedahkan supaya rakyat tahu siapa yang menulis dan atas sebab apa penarikan diri itu berlaku.

"Mendesak supaya peguam Syazlin Mansor, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin dan peguam negara dipanggil sebagai saksi-saksi dalam prosiding inkues tersebut, supaya mahkamah dapat menyelidik jika terdapat sebarang bentuk tekanan dan arahan jahat dari pihak tertentu.

"Ummah juga tidak menolak kemungkinan mengadakan himpunan rakyat demi keadilan untuk Adib secara besar-besaran jika tidak ada tindakan positif daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Syazlin mendedahkan bahawa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada inkues berkenaan kerana terdapat perkembangan baru.

Beliau walau bagaimanapun enggan menghuraikan butirannya.

Untuk rekod Ummah sudah dua kali mengadakan perhimpunan bagi menuntut pembelaan kepada Muhammad Adib iaitu, pada 21 Dis tahun lalu di Putrajaya dan 25 Dis di Klang.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Ummah akan menghantar memorandum kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak supaya Peguam Negara Tommy Thomas dipecat.

Laporan Berkaitan