BERITA

PAS: Rakyat akan lihat sebagai konspirasi jika AG gagal beri penjelasan

28 May 2019, 4:42 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Peguam Negara Tommy Thomas perlu memberikan penjelasan yang menyakinkan berhubung penarikan diri secara tiba-tiba seorang peguam daripada inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata seorang ahli parlimen PAS.

Ahmad Amzad Hashim berkata terdapat spekulasi bahawa Syazlin Mansor diarahkan supaya mengundurkan dirinya selepas Thomas menghantar surat kepada Menteri Kerajaan Tempatan Perumahan Zuraida Kamaruddin.

Surat itu kononnya mengarahkan kementerian berkenaan untuk menarik diri sebagai pihak yang berkepentingan dalam inkues berkenaan kerana Syazlin telah memalukan Jabatan Peguam Negara dengan asakannya terhadap saksi ahli forensik yang dilantik oleh kerajaan.

Ahmad Amzad Hashim

Ahli Parlimen Kuala Terengganu juga dalam satu kenyataannya mempersoalkan sekiranya Syazlin terpaksa menarik diri kerana menampilkan seorang saksi pakar lain, Prof Dr Shahrom Abdul Wahid, yang memberi keterangan bahawa Adib telah ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan diserang.

“Penarikan diri beliau dipercayai akan turut menjejaskan keterangan saksi iaitu Prof Shahrom Abdul Wahid yang sepatutnya dipanggil semula untuk memberikan keterangan. Sebelum ini, beliau telah mempertikaikan percanggahan dan pendapat berbeza dari laporan saksi pakar forensik yang dipanggil oleh pihak pendakwaan.

“Adakah kerana keterangan Prof Shahrom yang menyatakan bahawa punca kecederaan Allahyarham Adib kerana beliau telah ditarik keluar dan dipukul bertentang dengan keterangan saksi pakar forensik pihak pendakwaan yang mengatakan Adib tidak dipukul dilihat sebagai memalukan kerajaan?” soal Ahmad Amzad.

Prof Dr Shahrom Abdul Wahid

Dua pakar lain memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan pintu van dalam usaha cuba melarikan diri semasa rusuhan di kuil Seafield pada 27 November lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzah berkata ini adalah tuduhan serius yang boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap keputusan inkues itu nanti.

“Rakyat akan terus melihat ia sebagai satu konspirasi untuk menutup punca kematian sebenar Allahyarham Adib sekiranyaTommy Thomas gagal memberi penjelasan yang meyakinkan dengan segera,” katanya.

Syazlin, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan dirinya semalam.

Syazlin Mansor

Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, peguam itu berkata beliau membuat keputusan tersebut susulan terdapat perkembangan baru tetapi enggan menghuraikan butirannya.

Beliau juga enggan mengulas mengenai laporan yang mendakwa bahawa dia telah menerima surat daripada pegawai kanan kerajaan, yang menyatakan bahawa dia harus menarik diri.

Sementara itu, Zuraida memberitahu Malaysiakini bahawa peranan peguam swasta itu kini bersifat kelewahan (redundant).

Menteri itu berkata ini adalah kerana AG mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Laporan Berkaitan