malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Adakah ini salah persepsi berkenaan kanabis? Persoalannya, siapa yang salah menduga?

Menteri dalam negeri dan undang undang Singapura K Shanmugam dilaporkan berkata bahawa kanabis telah salah diterjemahkan oleh media antarabangsa malah dengan beraninya mengatakan bahawa dasar perang ke atas dadah yang dilaksanakan republik itu telah menyelamatkan ribuan nyawa.

Mungkin mereka terlupa tentang bagaimana Israel kini adalah pelopor ganja perubatan dan bagaimana ganja membawa Colorado keluar dari bandar dengan kadar jenayah tinggi dan dengan keuntungan kutipan cukai ke atas kanabis mencecah jutaan dolar Amerika.

Cukai yang dikutip ini dimanfaatkan sebaiknya oleh warga Colorado untuk digunakan bagi memperkasakan sekolah, skim perumahan yang mampu milik dan kempen gaya hidup sihat belia.

Israel dan Colorado hanya dua contoh dari pelbagai negara dan bandar dunia yang sebelum ini mengamalkan dasar undang undang dadah yang hampir sama dengan kita di Asean. 

Bukti, bukan persepsi

Perang ke atas dadah diakui oleh mereka sebagai perang yang gagal. Gagal mencapai tujuan ia dicipta iaitu memerangi dadah dan gagal menyelamatkan rakyat dari ancaman dadah.

Mengapa ia gagal? Kerana perang dadah kita tak ubah seperti satu retorik. Asean walaupun berperang dadah, tetap antara tempat di mana sebahagian besar opiod dan ganja dihasilkan.

Tidak dapat dinafikan apabila kita melarang sesuatu perkara, sifat ingin tahu di dalam diri akan muncul. 

Apabila rasa ingin tahu ke atas dadah ini tidak dapat dipenuhi, mereka yang berani, yang terpengaruh dengan kata kata orang yang banyak masalah akan menggunakan dadah, kalau hendak nampak hebat kena hisap dadah - mereka ini akan mudah terpengaruh akibat jati diri yang tidak kuat.

Mereka kemudian akan berpaling kepada pasaran gelap, menjadi mangsa penjual pasaran gelap dan jika nasib tidak baik, menjadi mangsa pihak berkuasa. 

Sementara pembekal-pembekal dadah ini masih berleluasa, keldai dadah pula dipergunakan untuk membawa masuk dadah.

Di Malaysia, misalnya pada 14 Januari lalu dilaporkan pihak JSJN Bukit Aman merampas sejumlah 9.88 kg disyaki syabu, 16.4 kg disyaki heroin dan 940 biji pil disyaki ekstasi dengan jumlah keseluruhan RM 814,00 yang diseludup masuk ke dalam Penjara Simpang Renggam dan ia memberi gambaran betapa 'berjayanya' perang ke atas dadah.

K Shanmugam juga mengatakan setiap tindakan yang ingin di ambil seharusnya berdasarkan bukti dan bukannya percepsi.

Menteri undang-undang Singapura ini juga percaya menggunakan pendekatan yang keras, dan memberi hukuman berbentuk deterrence (pencegahan) akan menyelamatkan beribu-ribu nyawa?

Namun, 80 peratus dari populasi penjara Singapura adalah pesalah dadah atau mempunyai sejarah menggunakan dadah. 

Bukankah itu bukti kegagalan perang ke atas dadah negara pulau tersebut?

Jelas, kepercayaan menteri tersebut hanya persepsi beliau sendiri dan tidak disokong oleh apa-apa bukti.

Penagihan adalah satu masalah kesihatan. Selagi kuasa untuk mentadbir penagih penagih ini berada di bawah kuasa polis dan bukannya kementerian kesihatan, pesakit yang mempunyai masalah penagihan akan dinafikan sokongan dan rawatan berdasarkan keterangan (evidence based treatment).

Mereka tidak akan disembuhkan sebaliknya apa yang berlaku adalah komuniti semakin dipinggirkan dan ditindas.

Asean masih meneka-neka

Sementara itu, manfaat ganja dalam sudut perubatan adalah sesuatu yang telah terbukti dan sehingga kini sentiasa dikaji potensinya. Terdapat lebih dari seratus jenis cannabinoids yang telah dikenal pasti dan ada beratus lagi yang masih cuba dikenal pasti.

Akibat daripada pengharaman, kajian lanjut ke atas ganja adalah amat sukar dilakukan. Ganja yang digolongkan dalam jadual 1 Akta Dadah Berbahaya tidak boleh dikaji sesuka hati dan kebanyakkan institusi pengajian tinggi menolak untuk melakukan kajian atas alasan ini.

Untuk makluman K Shanmugan, kajian ke atas ganja telah dijalankan semenjak berpuluh tahun dahulu oleh Israel juga negara seperti Sepanyol, Belanda, Amerika Syarikat dan negara lain sebelum legalisasi ganja itu terjadi di negara mereka.

Tidak seperti negara Asean yang masih meneka-neka kebaikan berbanding keburukan ganja, negara-negara yang membenarkan penggunaan ganja ini terus mengkaji, mendapat manfaat perubatan ganja dan berjaya keluar daripada perang dadah dengan mengamalkan pendekatan yang lebih kemanusiaan.

Berbalik kepada penggunaan ganja dalam perubatan, ianya amat bersangkut-paut dengan sistem endocannabinoids badan. Sistem endocannabinoids ini memerlukan cannabinoids dan ganja mempunyai beratus jenis cannabinoids.

Menurut pakar kajian ganja adalah penting sistem endocannabinoids ini diaktifkan sebagai sokongan kepada sistem lain badan. Malangnya, sekolah perubatan biasa tidak mengajar tentang sistem ini. 

Ia satu mata pelajaran baru yang hanya boleh dipelajari di negara-negara yang meluluskan penggunaan dan kajian ganja.

Malah sekiranya kita bertanya doktor di negara yang masih mengharamkan ganja, kebanyakkan mereka tidak pasti apa kepentingan sistem endocannabinoids ini.

Kenyataan yang cuba mendahului pakar dalam bidang ganja seperti hanya sebahagian kecil dari kompaun di dalam ganja itu bermanfaat adalah amat dangkal. Ini kerana, mengikut pakar dalam bidang ganja, Raphael Mechoulam, seorang ahli kimia organik dan profesor di University Ibrani, Jerussalam bahawa kesemua kompaun di dalam ganja harus diaktifkan bagi mendapatkan khasiatnya yang optimum atau disebut entourage effect tidak boleh dipandang sepi.

Shanmugan perlu tahu legalisasi tidak bermaksud anda bebas merokok ganja di gerai mamak. 

Sebaliknya, ia bermaksud mewujudkan undang-undang dan peraturan yang ketat dalam mengawal penanaman, import, export, pembungkusan, pengeluaran, pemilikan, lesen jual-beli, keadaan perubatan yang boleh diberi presripsi kannabis dan cara penggunaan.

India dan Thailand mendahului rakan Asean mereka dengan melegalkan penggunaan ganja bagi kegunaan perubatan.

Di India satu kategori baru di kementerian perubatannya diwujudkan iaitu nutraceutical bagi memenuhi matlamat ganja perubatan sementara di Thailand, ganja medik diletakkan di bawah kategori homeopati.

Harapan Malaysia Awareness Society (Masa) adalah semoga Malaysia dan Singapura bersikap lebih terbuka serta mula membenarkan dan menaja kajian lanjut berkenaan ganja. 

Kita tidak boleh melarang sesuatu bahan atas sebab ia tiada bukti perubatan dan pada masa yang sama enggan menjalankan sebarang kajian saintifik .

Fahamilah bahawa negara seperti Amerika Syarikat yang dahulu sibuk melobi untuk pengharaman ganja kini telah mula mengubah perspektif mereka. 

Mereka tidak lagi menghukum rakyat dengan perang ke atas dadah malah mereka kini mengakui kesilapan mereka menyokong pengharaman ganja sebelum ini.

Di Malaysia sendiri tiada kajian konklusif yang membuktikan ganja itu racun dan berbahaya tetapi kita tidak mengkaji sebaliknya hanya bersetuju dan mengikut program pengharaman ganja.

Kita harus berhenti menghukum manusia lain hanya kerana kita tidak bersetuju dengan sebahagian pendapat dan tingkah laku mereka. 

Sebaliknya kita harus mendekati, mengkaji dan cuba mengerti mengapa ada di kalangan kita menyokong usaha pengurangan kemudaratan dan pengakhiran perang dadah dan mengapa ada banyak testimoni tentang ganja yang dibeli dari pasaran gelap yang menyelamatkan banyak nyawa pesakit.

Sebelum anda bertindak menafikan testimoni-testimoni pesakit yang sembuh dengan ganja, anda sepatutnya mengkaji lanjut apa itu ganja terlebih dahulu. Bantu, bukan hukum.


INTAN MUSTIKA PUTRI MOKHTAR ialah Presiden Malaysia Awareness Society (Masa).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen