BERITA

Menteri: AG wakil kementerian, bomba, peranan peguam tak perlu

Alyaa Alhadjri

27 May 2019, 10:55 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Peranan peguam Syazlin Mansor tidak perlu kerana peguam negara telah bertindak bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat disebabkan beliau mewakili kerajaan, menurut Zuraida Kamaruddin.

"Kami perlu mengambil maklum AG mewakili kerajaan - termasuklah kedua-dua kementerian dan boma.

"Justeru, peranan Syazlin dalam mewakili Bomba sudah menjadi tidak perlu. Jadi beliau perlu menarik diri," kata Zuraida dalam pesanan khidmat ringkas kepada Malaysiakini petang ini.

Menteri itu ditanya mengenai laporan Syazlin menarik diri daripada inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berdasarkan surat yang diterimanya.

Bagimanapun, Zuraida enggan mengulas lanjut sama ada surat yang dikatakan itu ada atau tidak.

Syazlin, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, mengumumkan penarikan dirinya di Mahkamah Koroner, Shah Alam pagi ini.

Peguam itu memberitahu Malaysiakini beliau berbuat demikian kerana ada perkembangan baru tetapi enggan mendedahkan butiran terperinci.

Syazlin (gambar) juga enggan mengulas laporan Sinar Harian yang mengaitkan keputusannya dipercayai ada kaitan dengan sepucuk surat diterimanya.

"Saya tidak berhasrat untuk memberi maklum balas. Sila rujuk kepada Zuraida," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan surat tersebut dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang-undang.

Memetik sumber, surat itu terkandung arahan terhadap Syazlin dan pihak kementerian agar menarik diri dan tidak lagi mengendalikan kes yang menjadi tumpuan itu.

Sinar Harian mendakwa terdapat pihak yang tercabar dengan kredibiliti Syazlin yang begitu tegas dan agresif mencari kebenaran serta keadilan buat Muhammad Adib.

Katanya lagi, kandungan surat tersebut antaranya menyebut Syazlin telah memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Syazlin berkata dengan penarikan dirinya, beliau percaya tindakan memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, akan terbatal.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Adib, 24, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.