malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warga Nigeria dituduh bunuh Siti Kharina, dua individu bebas
Diterbitkan:  May 27, 2019 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM
ADS

Seorang lelaki warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36 dituduh membunuh Siti Kharina di antara 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang 15 Mei di Tower 1, 09-01 Third Avenue Condominium, Cyberjaya.

Pertuduhan dibacakan kepada tertuduh dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho. Gilbert mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Dia menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan kemudiannya memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu beberapa laporan iaitu post mortem, kimia, forensik, kamera litar tertutup (CCTV), ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan telefon bimbit.

A Akhiruddin kemudiannya menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan baharu bagi menunggu kesemua laporan itu.

Tertuduh yang berkemeja denim dan berseluar jean kelihatan tenang ketika dibawa ke mahkamah, dilihat menggelengkan kepala ketika ditanya sama ada dia sudah melantik peguam atau belum.

Sebelum ini, lelaki warga Nigeria itu direman seminggu bermula 17 Mei sebelum disambung untuk seminggu lagi pada 23 Mei.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemukan pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei, lepas.

Susulan penemuan mayatnya, polis menahan seorang wanita warga Nigeria, seorang lelaki warga Pakistan dan tertuduh.

Di mahkamah yang sama, dua individu yang ditahan bersama tertuduh iaitu wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah RM13,000.

Sementara, lelaki warga Pakistan yang berumur 38 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah RM11,000.

A Akhiruddin turut memerintahkan supaya pasport kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

- Bernama

Lihat Komen