malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dakwaan program Ramadan ala pesta tuduhan jahat '
Diterbitkan:  May 27, 2019 9:00 AM
Dikemaskini: 2:26 AM
ADS

Seorang pemimpin akar umbi Pemuda PKR (AMK) yang terbabit dalam penganjuran acara Ramadan sehingga menyebabkan presiden parti Anwar Ibrahim terpaksa memohon maaf menafikan bahawa majlis berkenaan tidak sesuai dianjurkan pada bulan suci ini.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya Program Iftar Perdana bersama Timbalan Ketua AMK Malaysia yang berlangsung didakwa seperti pesta dan terdapat unsur-unsur yang melawan norma-norma budaya Islam.

"Untuk pengetahuan, program tersebut yang julung kali diadakan bertemakan semangat perpaduan dan bersifat meraikan bulan Ramadan dengan konsep kesederhanaan bersama pimpinan AMK dan 600 alumni program perlatihan dan kepimpinan AMK," kata wakil penganjur program itu, Akhram Ahmar, dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung program itu yang didakwa menyelitkan acara pesta-pestaan.

"Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan oleh Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

"Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini," kata presiden PKR itu pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR hari ini yang turut disiarkan di Facebook.

Menurut Akhram, antara tentatif program yang berlangsung adalah ceramah oleh Pencetus Ummah (PU) Taha, solat tarawih berjemaah, rakaman takbir raya dan persembahan lagu raya oleh kumpulan KGB Band yang merupakan bakat-bakat yang ada dalam AMK sendiri.

Beliau turut memberikan contoh program “Ramadan Jazz Festival” di Jakarta yang anjurkan ketika bulan puasa untuk menarik minat anak muda di samping turut menyelitkan unsur dakwah.

"Program ini menjadi role-model penganjur yang jelas tidak pincang dari sudut hukum agama malah memberi kesedaran kepada ahli Angkatan Muda untuk melakukan ibadah dan sentiasa mengingati pencipta yang esa.

"Saya tekankan di sini, acara persembahan lagu raya hanya bermula ketika tetamu sedang menikmati jamuan moreh dan ketika sesi beramah mesra.

"Akhir kata dari saya, hentikan membuat tuduhan jahat. Sebagai orang muda kami terbuka menerima teguran. Cuma nasihat dari saya, teguran itu janganlah bersifat selektif dan melulu," katanya.

Lihat Komen