malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar mohon maaf program Ramadan ala pesta
Diterbitkan:  May 26, 2019 8:27 PM
Dikemaskini: 12:31 PM
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung program berbuka puasa anjuran Pemuda PKR yang bersifat pesta.

"Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan oleh Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

"Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR hari ini yang turut disiarkan di Facebook.

Anwar bagaimanapun tidak memperincikan program yang dimaksudkan.

"Saya memberi teguran keras kepada Pemuda PKR supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak menjalankan kegiatan yang menyimpang dari tradisi budaya Islam.

"Ketua Pemuda PKR menjelaskan program ini diselenggarakan oleh timbalan beliau dan saya minta Pemuda PKR supaya memperbaiki kelemahan ini," tambahnya.

Dalam isu berasingan, Anwar berkata PKR sedang menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Jelas Anwar, dalam mesyuarat hari ini, PKR juga memutuskan agar pimpinan pusat dan biro politik ditugaskan untuk menguruskan jentera kempen parti seluruh negara.

Bagi Sarawak, kata Anwar, jentera kempen PKR akan diterajui Menteri Kerja Raya Baru Bian yang akan dibantu pemimpin PKR lain iaitu Ali Biju, Saifuddin Nasution, Tian Chua dan Xavier Jayakumar.

"Mereka akan memulakan tugas secepat mungkin untuk merangka strategi mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen dan mempersiapkan satu jentera yang boleh berikan satu landasan yang cukup berkesan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak," katanya.

Anwar berkata, pimpinan PKR juga hari ini membincangkan tentang kebimbangan konflik AS dan Iran yang menyaksikan pembinaan aset tentera.

"PKR membantah sekeras-kerasnya provokasi AS dan menggesa institusi antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi meredakan ketegangan yang boleh menyebabkan tercetusnya perang.

"PKR juga menggesa kerajaan Malaysia untuk membuat pendirian lebih tegas terhadap provokasi dan ancaman perang AS," katanya.

Anwar menambah bahawa PKR berharap Organisasi Negara Islam (OIC) yang akan bermesyuarat di Makkah pada 31 Mei turut mengambil pendirian serupa.

Lihat Komen