malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Zahid tak patut bermegah kisah dilantik jadi TPM'
Diterbitkan:  May 26, 2019 4:39 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya bermegah dengan kisah ketika dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada 2015.

Jelas Lim, Zahid boleh mengelakkan imej kleptokrasi yang diberikan kepada Malaysia sekiranya beliau menolak jawatan itu.

Sebaliknya, kata Lim, Zahid dan pemimpin BN lain seharusnya meminta Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu bertanggungjawab sepenuhnya.

Zahid dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada Julai 2015 selepas Najib memecat timbalannya, Muhyiddin Yassin. Najib ketika itu juga menyingkirkan Abdul Gani Patail sebagai peguam negara dan Mohd Shafie Apdal dari kabinetnya.

Lim berkata, episod penyingkiran individu-individu itu merupakan episod yang mengecewakan bagi rakyat Malaysia yang patriotik, dan tidak sepatutnya bermegah-megah seperti yang dilakukan Zahid.

"Kualiti politik Zahid dapat dilihat dari penipuan dan kecurangan yang dimegahkannya, seperti ketika dia mendakwa bahawa 'golongan minoriti mengawal majoriti', yang merupakan taktik menghasut ketegangan kaum dan agama serta kebencian untuk menggambarkan bahawa orang Cina mengawal orang Melayu," kata Lim dalam kenyataan media hari ini.

Dalam sebuah program berbuka puasa semalam, Zahid menceritakan pengalamannya berada di Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan ketika dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Zahid berkongsi bahawa beliau mendapat 18 panggilan tidak berjawab daripada Najib.

"Saya telefon balik. Saya tak tahu nombor siapa. Bila saya call, saya cakap assalamualaikum, rupanya bosku (Najib). Dia cakap you have to come back now (anda perlu balik ke tanah air sekarang)."

"Saya kata saya tak boleh balik sebab nak tunggu malam ke-27 Ramadan. Rupanya dia lantik saya sebagai timbalan perdana menteri," kata Zahid.

Zahid sempat menjadi timbalan perdana menteri selama dua tahun 285 hari yang merupakan kedua tersingkat selepas Hussein Onn (dua tahun 155 hari).

Hussein Onn seterusnya menggantikan Abdul Razak sebagai perdana menteri, sementara kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu menjadikan Zahid kini pemimpin pembangkang.

Meskipun masih memegang jawatan presiden Umno, Zahid kini sedang bercuti dan tugas-tugasnya diserahkan kepada timbalannya, Mohamad Hasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen