malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pilpres: 'Golongan Orde Baru peralat agama, bangsa'
ADS

GLOBAL | Biarpun banyak pihak memandang Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia sebagai pertembungan antara puak konservatif dan moderat, penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar tidak berkongsi pandangan serupa.

Sebaliknya, katanya, Pilpres Indonesia menyaksikan cubaan golongan lama yang diketepikan ketika penggulingan Suharto pada 1998- untuk kembali menegakkan kuasa dengan memperalatkan isu agama dan bangsa.

“Golongan yang diwakili oleh bekas jeneral Prabowo (Subianto) [...] adalah golongan ‘Orde Baru’ yang dulunya lama berkuasa, begitu mendalam akar mereka dalam masyarakat Indonesia, dan begitu meluas pengaruh mereka pada suatu masa dahulu.

“Kerana mereka diketepikan dan digulingkan dalam Peristiwa 1998, (di mana) Suharto mengundur diri dan mereka hilang kuasa, saya nampak ini sebagai usaha untuk cuba menegakkan kuasa mereka dengan memperalatkan agama,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Orde Baru merupakan istilah yang digunakan terhadap era presiden kedua Indonesia, Jeneral Muhammad Suharto yang berkuasa dari 1967 sebelum melepaskan jawatan selepas demonstrasi jalanan besar-besaran membantah kekuasaannya pada 1998.

Golkar tak komited agama

Tambah Chandra, biarpun dalam kempen Pemilihan Umum (Pemilu) lalu golongan itu dilihat begitu rancak memainkan isu agama dan keturunan bangsa, mereka sebenarnya bukanlah pihak yang komited terhadap agama.

“(Parti) Golkar yang dulu dikaitkan dengan Orde Baru dengan Suharto, bukanlah kumpulan yang komited kepada agama. Tapi dari semasa ke semasa mereka memperalatkan agama dan sekarang lebih ketara. Begitu juga dengan Prabowo sendiri (dari parti Gerindra), bekas menantu Suharto - memperalatkan agama untuk kuasa.

“Saya tak menganggap mereka ini sebagai wakil kepada Islam konservatif atau Islam reactionary (reaksionis), mereka hanya memperalatkan agama kerana mereka mahukan kuasa (untuk) mereka lawan Jokowi. Isu agama adalah isu emosi dan impaknya besar,” katanya lagi.

Chandra (gambar) mengambil contoh bagaimana golongan tersebut membangkitkan isu keturunan bangsa dan agama bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok sehingga menimbulkan protes besar-besaran oleh kumpulan konservatif Islam di Jakarta pada 2016.

“Kalau kita tengok pada hubungan mereka dengan beberapa kumpulan perniagaan keturunan Tionghoa, mereka begitu rapat. Tapi mereka memperalatkan isu keturunan Tionghoa bekas gabenor Jakarta Ahok, dan soal-soal yang berhubung kait dengan Al-Quran dan sebagainya untuk menggulingkan beliau,” katanya.

Ahok kemudiannya kalah pada pilihan raya kepala daerah (Pilkada) Jakarta pada 2017, sebelum dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun pada Mei 2017 atas kesalahan menghina Islam dalam satu kempen pada tahun sebelumnya.

Pendapat Chandra itu senada denngan pandangan pemerhati politik dan pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyatakan isu agama telah banyak dimainkan oleh Prabowo sepanjang kempen Pemilu.

“Sentimen agama sangat dimainkan kerana rakyat Indonesia semakin menerima Islam sebagai cara hidup, cuma mereka menolak pendekatan politik radikal Islam yang dibawa. Prabowo banyak mempergunakan Islam untuk menutup kelemahan imejnya sebelum ini sebagai bekas pelanggar hak asasi manusia,” katanya.

Suharto dan partinya Golongan Karya (Golkar)

Sementara itu, Chandra melihat cubaan Orde Baru di Indonesia untuk kembali berkuasa itu mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di Malaysia, khususnya dalam parti Umno.

Chandra berpendapat Umno masih memiliki pengaruh kuat di kalangan rakyat dan ini katanya dibuktikan dengan kemenangan parti itu di 54 kerusi parlimen pada PRU14 lalu.

Katanya, sebagaimana golongan Orde Baru di Indonesia, Umno juga menggunakan isu agama dan bangsa sebagai cara meraih sokongan.

"Jika dibandingkan dengan Orde Baru di Indonesia, Umno juga begitu lama berkuasa. Dan dia punya kuasa melebihi kedudukannya sebagai sebuah parti politik semata-mata, seperti mana juga dengan Golkar dulu. [...]. Mereka bukan parti politik dalam erti kata biasa,” katanya.

Untuk rekod, selepas pilihan raya umum, ramai wakil rakyat Umno yang telah mengisytiharkan diri keluar Umno.

Antaranya, MP Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Hamzah Zainudin (Larut); Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Anggota Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali masing-masing menyertai Bersatu.

Pada Disember tahun lalu, sekumpulan besar wakil rakyat Umno Sabah dan Adun keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka termasuk MP Beluran, Ronald Kiandee; MP Kudat, Abdul Rahim Bakri; MP Beaufort Azizah Mohd Dun dan MP Libaran, Zakaria Mohd Edris, MP Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Ini menjadikan MP Kinabatangan, Bung Moktr Radin wakil rakyat tunggal Umno dari Sabah.

Menjelaskan lanjut, Chandra berkata biar pun beberapa isu yang diperjuangkan adalah penting seperti isu subsidi buat nelayan dan penoreh getah, namun kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno sengaja direka demi kuasa seperti menggunakan isu tentang kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya.

"Kerana mereka hilang kuasa, mereka nak menimbulkan satu suasana politik di mana PH dianggap sebagai pengkhianat dan tidak boleh diharapkan untuk melindungi orang Melayu, dan mereka cuba tonjolkan Umno khususnya sebagai pelindung Melayu.

"Itulah dia punya persamaan, bahawa di sana Orde Baru, di sini Umno dan konco-konconya. Mereka dalam keadaan yang tak begitu berbeza, dah hilang kuasa, cuba menghidupkan semula kedudukan mereka, cuba meraih sokongan melalui cara-cara ini," katanya lagi.

Pada Pemilu ke-12 Indonesia tahun ini menyaksikan buat julung-julung kalinya Pilpres diadakan serentak dengan Pemilihan legislatif (Pileg).

Pada hari yang sama berlangsungnya pembuangan undi pada 17 April, calon presiden Prabowo mendakwa berjaya menewaskan saingannya Joko Widodo atau Jokowi, sedangkan pengiraan undi cepat beberapa lembaga pemerhati meletakkan Jokowi mendahului Prabowo.

Prabowo juga turut membuat kenyataan akan menolak keputusan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) kerana menuduh suruhanjaya itu sebagai curang dalam menguruskan Pemilu, sedari tempoh kempen sehinggalah pengiraan undi.

Pada 21 Mei, KPU mengumumkan secara rasmi kemenangan Pilpres berpihak kepada Jokowi. 

Susulan pengumuman itu, penyokong Prabowo merusuh ke jalan-jalan di Jakarta sehingga menyebabkan tujuh orang terkorban dalam rusuhan itu, setakat semalam.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir, rusuhan itu sememangnya telah beliau jangkakan memandangkan isu agama dan kaum banyak dimainkan secara melampau oleh Prabowo.

“Berdasarkan gugatan Prabowo sejak awal lagi, menyatakan bahawa kecurangan berlaku dalam Pemilu kali ini, dan ketika tersebarnya gambar sujud (syukur bagi meraikan 'kemenangan') beliau - boleh dikatakan itu percaturan dan strategi politik beliau untuk membentuk pendapat umum, dan ternyata kesannya begitu negatif.

“Saya perhatikan Prabowo begitu ghairah nak menang. Jadi keghairahan itu menyebabkannya menggunakan pelbagai strategi untuk menggambarkan bahawa pemilihan itu penuh dengan penipuan. 

"Dan ini membangkitkan kemarahan dalam kalangan penyokongnya,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Chandra pula, biarpun melihat wujud persamaan dalam percaturan politik Umno dan golongan orde baru di Indonesia, beliau kekal positif huru-hara yang timbul akibat proses demokrasi seperti yang tercetus di Indonesia tidak akan berlaku di Malaysia- memandangkan dua faktor utama.

Pertama, peranan institusi beraja dan kedua, sistem pemerintahan sivil yang diamalkan sejak dulu di negara ini.

“[...] Walaupun ada rancangan tertentu untuk kekalkan kuasa pihak yang kalah pada tanggal 9 Mei (PRU tahun lalu), (tapi) tak menjadi kenyataan, antaranya kerana peranan yang dimainkan oleh raja-raja tertentu.

“Umpamanya oleh Tuanku Sultan Nazrin Shah, di mana menegakkan prinsip-prinsip demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, bahawa inilah keputusan rakyat yang harus diterima oleh semua pihak termasuk pihak yang kalah. Mesej ini dapat ditegakkan bahawa keputusan itu mesti diterima,” katanya lagi.

Selain itu, Chandra menjelaskan, melihat pada sejarah, Malaysia sememangnya sebuah negara yang menghormati dan mengamalkan sistem pemerintahan sivil tanpa ada campur tangan pihak tentera atau pihak-pihak lain.

“Malah apabila sistem parlimen digantung selama 21 bulan (ketika darurat 1969-1971), jangan lupa bahawa Mageran itu juga bukan sistem ala tentera, tetapi juga sistem sivil. Pengarah Mageran almarhum Tun Abdul Razak adalah seorang yang dipilih oleh rakyat dalam PRU, sebagai timbalan perdana menteri yang dilantik mengetuai Mageran.

“Bermakna sepanjang riwayat kita sebagai sebuah negara merdeka, pemerintahan kita adalah sivil. 

"Dan bermakna kuasa-kuasa lain, termasuk tentera dan sebagainya, mereka tidak dibenarkan campur tangan dalam politik. Itu penting. Kerana itulah sebabnya, kalau banding dengan Indonesia, begitu ketara perbezaannya,” katanya.

Berbeza dengan Malaysia, kata Chandra, Indonesia pula mempunyai sejarah panjang berada di bawah pemerintahan tentera.

“(Sejak) pilihan raya pertama yang diadakan pada tahun 1955, keputusannya tidak dihormati. Ada beberapa pelaku politik yang mencabar keputusan pemilu dan akhirnya Sukarno memperkenalkan ‘demokrasi terpimpin’.

“Jadi dia punya sejarah berbeza. Kita ini lebih kuat berpegang pada demokrasi berparlimen dan sivil. [...] Malaysia juga ada satu institusi yang mengatasi politik kepartian, iaitu institusi beraja,” jelasnya lagi.

Pendapat senada diutarakan oleh pemehati politik B Anbumani yang berpandangan Malaysia tidak akan melalui tahap krisis seperti yang tercetus di Indonesia.

“Sebelum PRU-14 memang wujud pelbagai spekulasi , ramalan dan cakap-cakap mengenai ‘ancaman politik’ termasuk rusuhan sekiranya BN tersungkur, namun kerisauan itu dapat diatasi melalui persefaham politik matang dan dinamik seperti ditunjukkan oleh pemimpin politik di sini, baik yang menang atau kalah atas semangat demokrasi.

“Kita sudah melalui segala fasa politik yang mencabar termasuklah melihat pembentukan Malaysia Baru pada tahun 2018 tanpa sebarang insiden. Yang penting semangat ini perlu diteruskan sampai bila-bila pun,” katanya lagi. 

Lihat Komen