BERITA

Debat Najib, Kit Siang cuma nak ukur populariti - Penganalisis

Yasmin Ramlan

23 5月 2019, 8:04 早上

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Penganalisis politik percaya cadangan debat antara bekas perdana menteri Najib Razak dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hanya akan menyemarakkan semangat penyokong parti tertentu, berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata lebih baik sekiranya dua pemimpin ini menumpukan jalan menangani kos hidup rakyat kerana debat itu dilihat tidak lebih daripada sekadar mahu meraih populariti individu.

“Masing-masing ingin mahu berdebat kerana akan bawa populariti diri. Masing-masing tidak sabar mengukur pengaruh mereka dalam kalangan parti dan rakyat.

“Sedangkan debat tidak dapat menyelesaikan masalah semasa seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang sedang berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.

Debat tersebut besar kemungkinan berlangsung selepas aidilfitri diadakan susulan kenyataan Kit Siang bahawa Najib perlu menjelaskan beberapa dakwaan terhadap dirinya.

Kenyataan itu dibuat susulan Najib membangkitkan gelaran "Menteri Hal Ehwal Najib" yang diberikan kepada Lim, yang menurutnya obses terhadap dirinya.

Selanjutnya, Awang Azman berkata, bagi Najib peluang keemasan ini memang dinanti-nantikan oleh beliau kerana secara tidak langsung ia memberi peluang baginya untuk menjadi tumpuan rakyat, di samping dapat mengimbangkan imejnya yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Lebih baik kedua-dua pemimpin ini menumpukan bagaimana dapat menangani kos hidup semakin meningkat dan pastikan usaha terhadap memajukan ekonomi rakyat.

“Mahupun cari idea dan strategi menurunkan harga rumah, menyediakan peluang pekerjaan kepada belia dan menyelesaikan isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasionaal),” katanya.

Budaya dialog terbuka

Bagaimanapun, Awang Azman melihat debat ini akan dapat menyuburkan sistem demokrasi melalui kebebasan bersuara serta memberikan pendapat yang objektif dan bernas daripada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Lim mencadangkan tajuk debat iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global dan bagaimana kita dapat menjadi contoh negara berintegriti".

Najib yang bersetuju dengan tajuk debat itu turut meletakkan syarat supaya topik lain juga dapat dibincangkan nanti.

Prof Kartini Aboo Talib (gambar, bawah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut senada dengan Awang Azman berkata budaya demokrasi dan keterbukaan seperti itu sebenarnya harus diraikan dalam semangat kerajaan baru di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ia memberi ruang untuk rakyat mendengar secara langsung tanpa ada censorship (penapisan).

“Walaupun input dari kedua-duanya hanya akan menyemarakkan rasa suka dan tak suka orang yang mendengar, tetapi budaya open dialogue (dialog terbuka) ini harus diteruskan,” katanya.

Beliau turut mengakui debat berkenaan kleptokrasi itu sewajarnya menumpukan kepada isu membahaskan hal-hal rakyat.

“Saya kira dari segi kuasa dan horizon keupayaan Lim Kit Siang dalam kerajaan kini lebih bermakna untuk memikirkan usaha meningkatkan perpaduan dan tidak menggunakan peluang ini untuk agenda DAP semata-mata.

“Sementara Najib boleh fokus kepada usaha mendapatkan kembali kepercayaan rakyat dan membersihkan nama beliau atas segala tuduhan yang dibicarakan kini,” katanya.

Najib kini berdepan dengan tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC Internaitonal, iaitu bekas anak syarikat 1malaysia Development Berhad (1MDB).

Tuduhan tersebut melibatkan salah guna kuasa, tuduhan pecah amanah dan tuduhan pengubahan wang haram. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen