malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai PBT menyamar tukang masak, tangkap orang tak puasa
Diterbitkan:  May 23, 2019 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Seramai 32 orang penguat kuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menyamar sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.

Dua daripadanya, yang pandai membuat roti canai, teh tarik dan mee goreng mamak, akan menyamar sebagai tukang masak dan dan pelayan, lapor News Straits Times.

"Kami telah memilih secara khas pegawai-pegawai yang berkulit gelap untuk melakukan tugas penyamaran.

"Mereka kedengaran meyakinkan apabila bercakap bahasa Indonesia dan Pakistan, jadi pelanggan akan percaya bahawa mereka benar-benar diupah untuk memasak, menyediakan makanan dan mengambil pesanan," kata Yang Dipertua MPS Mohd Masni Wakiman.

Katanya terdapat 185 gerai dan premis makanan berlesen bawah MPS yang terletak di 15 lokasi, antaranya Segamat, Bandar Putra IOI, Segamat Baru, Jalan Segamat Muar, Taman Yayasan, Buloh Kasap, Jementah, Batu Anam, dan Bandar Utama.

Mohd Masni berkata selepas pesanan makanan dibuat, anggota penguat kuasa MPS akan mengambil gambar secara rahsia pihak yang makan dan segera melaporkannya kepada Majlis Agama Islam Segamat.

"MPS tidak mahu dilihat tidak membuat sebarang usaha bagi menangani isu umat Islam makan secara terbuka ketika bulan Ramadan.

"Ia bukan sahaja tidak menghormati Islam, tapi juga memburukkan imej MPS, kerana tindakan itu dilakukan di gerai-gerai di bawah pemantauannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen