malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lepas 6 terbunuh, Prabowo cuba tenteramkan penyokong
Diterbitkan:  May 23, 2019 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM
ADS

Prabowo Subianto yang tewas dalam pilihan raya presiden (Pilpres) Indonesia meminta penyokongnya tidak menyertai rusuhan yang berlaku di sekitar Jakarta, sejak semalam.

Rusuhan membantah keputusan Pilpres 2019 itu berlaku di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

“Saya mohon saudara-saudara kembalilah ke tempat istirahat masing-masing, hindari tindakan di luar undang-undang. Kemudian selalu mengalah dan patuh pada ketentuan undang-undang.

“Ini imbauan saya. Percayalah pada pemimpin-pemimpinmu. Kita sedang berjuang di jalur undang-undang dan perlembagaan," kata Prabowo melalui pesanan video yang menggesa supaya penyokongnya pulang.

Prabowo Subianto, calon presiden Indonesia yang gagal sekali lagi 

Rusuhan itu menyaksikan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, bom petrol dan mercun kepada pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

Portal Tempo melaporkan, menurut Gabenor Jakarta Anies Baswedan, setakat 8 malam semalam, sebanyak enam terbunuh dan 347 tercedera susulan kejadian rusuhan itu.

Berdasarkan pemerhatian portal itu, rata-rata mangsa yang dikejarkan ke Tarakan Hospital itu kebanyakannya disebabkan gas pemedih mata.

“Bas tidak dapat beroperasi dengan lancar sehingga pihak berkuasa mengumumkan keadaan terkawal,” menurut kenyataan dari CEO Transjakarta, Agung Wicaksono malam semalam.

Sementara itu, perusuh yang terlibat dalam rusuhan dengan penguat kuasa undang-undang berdekatan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jalan Wahid Hasyim telah mula bersurai pada pagi ini.

Mereka mula meninggalkan kawasan tersebut selepas waktu solat Subuh pada 5.15 pagi (waktu Jakarta) menghala ke Tanah Abang atau Jalan Kebon Kacang. Hanya sekumpulan yang kebanyakannya terdiri daripada remaja tidak meninggalkan kawasan tersebut.

Pada masa sama, sejak petang semalam, syarikat pengangkutan bandar tersebut, Transjakarta mengumumkan lebih banyak laluan yang ditutup berikutan rusuhan tersebut.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) diumumkan memenangi pilihan raya itu untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen