malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dakwaan NGO pegawai SPRM bocor maklumat berniat jahat'
Diterbitkan:  May 22, 2019 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

Pihak Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam (SMMTD) mendakwa tindakan sebuah NGO mempersoalkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebidang tanah milik kuil dipercayai didorong agenda peribadi yang berniat jahat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik SMMTD G Siva Kumar berkata badan itu terkejut dengan sidang media oleh Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia yang didakwa mempersoalkan proses siasatan SPRM terhadap penahanan seorang Tan Sri dan anaknya berhubung isu tanah.

"Pihak (kuil) Dhevasthanam percaya ia didorong oleh agenda peribadi yang berniat jahat.

"Kami ingin menyatakan rasa terkejut kerana pertubuhan itu telah menimbulkan keraguan terhadap penyiasatan yang dijalankan SPRM," katanya.

Siva juga berkata pihak kuil telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Daerah Petaling Jaya pada 17 Mei yang lalu.

"Kami ingin menjelaskan Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam dalam apa jua keadaan sekali pun tidak akan tunduk terhadap taktik helah sebegini oleh Arun atau sesiapa juga untuk memesongkan dan menjejaskan reputasi, rekod prestasi dan niat baik serta keyakinan penganut Hindu pada tiga kuil (di bawah pengurusannya)," katanya.

Pada 18 Mei lalu, SPRM digesa untuk menyiasat tiga pegawai SPRM yang didakwa membocorkan maklumat berkaitan satu kes melibatkan seorang 'Tan Sri' dan anaknya.

Penasihat Agamam Ani, Arun Dorasamy mendakwa tiga pegawai risikan SPRM bersarapan pagi bersama anak 'Tan Sri' terbabit di Putrajaya sebelum satu lagi pasukan suruhanjaya pencegahan rasuah menyerbu rumah 'Tan Sri' itu pada hari yang sama.

Arun juga mendakwa identiti saksi utama kes ini yang disalurkannya kepada SPRM telah dibocorkan oleh tiga pegawai terbabit.

Sementara itu, Siva memberitahu mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi terhadap Arun pada 1 April 2019.

"(Perintah mahkamah ini) untuk menghalang Arun, kakitangan, ejen, pekerjanya daripada mengucapkan, memudah cara dan menerbitkan atau menyebabkan pengucapan, penulisan atau penerbitan kata-kata fitnah yang diadukan (disiarkan) dalam media sosial, terutama di Facebook, media sehinggalah perbicaraan penuh atau pelupusan akhir prosiding.

"Permohonan untuk injunksi interlokutori telah difailkan pada 29 Jun 2018 dan perintah itu diberikan pada 1 April 2019," kata Siva lagi.

"Penghakiman interlokutori juga memihak kepada pemohon, plaintif dan pengerusi Dhevasthanam terhadap Arun sebagai defendan berdasarkan tuntutan terdahulu yang difailkan pada 18 Jun 2018.

"Dalam perintah tersebut, juga dinyatakan bahawa Arun mperlu membayar ganti rugi dan kos kepada plaintif.

Untuk rekod, pada 4 Mac lalu, seorang lelaki bergelar 'Tan Sri' dan anaknya bersama seorang lagi individu direman SPRM selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah milik Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima suapan.

Lihat Komen