malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jenazah Sultan Ahmad Shah diterbangkan ke Pahang
Diterbitkan:  May 22, 2019 5:49 PM
Dikemaskini: 9:49 AM
ADS

Kenderaan yang membawa jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 5.05 petang tadi.

Van jenazah khas membawa keluar jenazah Almarhum melalui pintu 1 Istana Negara menuju ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, sambil diiringi kenderaan peronda polis dalam cuaca hujan lebat.

Setibanya di pangkalan itu, jenazah Almarhum diterbangkan menaiki sebuah pesawat khas ke Istana Abu Bakar, Pekan di Pahang, untuk dimakamkan di Makam Diraja Pekan selepas solat Zohor esok.

Terdahulu, kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba di Istana Negara kira-kira 11.20 pagi setelah baginda mangkat di Institut Jantung Negara pada 8.50 pagi tadi.

Antara pemimpin tertinggi kerajaan dan orang kenamaan yang kelihatan hadir di Istana Negara memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum adalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Selain itu, kerabat diraja yang turut hadir adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara pemimpin kerajaan yang turut kelihatan adalah Menteri Hal Ehwal EkonomiAzmin Ali dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Zulkifli Zainal Abidin.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada anakandanya Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975.

- Bernama

Lihat Komen