malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin negara merafak sembah takziah kemangkatan Sultan Ahmad Shah
Diterbitkan:  May 22, 2019 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Selain Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pemimpin lain turut merafak sembah takziah kepada kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, hari ini.

“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN),” kata Timbalan Perdana Menteri di Twitter hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mendoakan Almarhum dikurniakan husnul khatimah dan dicucuri rahmat Allah.

"Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

"Semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT," katanya seperti dipetik Bernama.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam ucapan takziahnya pula mendoakan agar Allah merahmati dan mengampuni Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 89, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974.

Sementara itu, bekas perdana menteri dan anggota parlimen Pekan Najib Razak menyifatkan kemangkatannya sebagai kehilangan besar buat negara.

Menerusi hantaran Facebook, beliau menceritakan kenangannya bersama Almarhum, antaranya ketika dilantik sebagai menteri besar Pahang.

"Lebih manis dan langsung lagi ialah masa saya menjadi menteri besar Pahang pada 1982, tuanku ketika itu adalah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

"Sepanjang masa itu dan seterusnya pada masa saya di kerajaan pusat juga sehinggalah menjadi perdana menteri, saya amat bersyukur kerana sering kali berkesempatan mendapat keprihatinan, tunjuk ajar dan nasihat oleh tuanku," katanya.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan turut mengucapkan takziah dengan berkata: "Innalillahiwainnalillayhirojiun...Merafak Sembah Takziah Kepada KDYMM Sultan Pahang, kerabat Diraja Pahang dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah. Al Fatihah

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula dalam ucapannya mengajak orang ramai mendoakan roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Kerajaan Pahang mengumumkan negeri itu akan berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari ini bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Menurut Bernama, beliau berkata semua bendera negeri akan dikibar setengah tiang untuk tiga hari pertama, serta tiada acara keraian atau hiburan dibenarkan.

Kerabat diraja Pahang pula akan berkabung selama seratus hari, katanya lagi.

Lihat Komen