malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS kecam admin Facebook Dr Maza
Diterbitkan:  May 22, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: 9:50 AM
ADS

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengecam pengurus Facebook DrMaza.com kerana mengaitkan suspek kes bakar kereta Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan PAS.

Menyifatkan hantaran Facebook DrMaza.com itu sebagai ‘sangat-sangat tidak bertanggungjawab’ dan 'tidak berakhlak', Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kes berkenaan masih berada dalam siasatan pihak polis.

“Menurut tulisan yang diletakkan nota 'admin' (pengurus) itu, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai jawatan dan kedudukan di dalam Jabatan Amal dan organisasi politik yang sudah tentu merujuk kepada PAS.

“Disertakan juga gambar yang menunjukkan suspek yang ditahan bersama-sama dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Ahmad Fadhli merujuk kepada hantaran oleh laman Facebook DrMaza.com yang dimiliki Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Hantaran itu memaklumkan penahanan dua suspek kes bakar kereta Mufti Perlis oleh pihak polis hari ini.

Hantaran tersebut turut mendakwa ada usaha awal untuk mencederakan Asri menggunakan asid, selain mempersoalkan peranan Unit Amal susulan penahanan dua individu daripada unit terbabit.

Bagaimanapun, dalam hantaran sama, turut dinyatakan yang Asri kini berada di Sabah dan pandangannya akan didapatkan apabila pulang ke Perlis nanti.

Semakan Malaysiakini pada petang ini mendapati hantaran itu telah dipadam.

Kata Ahmad Fadhli, PAS tidak pernah membenarkan mana-mana ahlinya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, malah PAS sendiri mengutuk keganasan yang dilakukan dalam kes tersebut dalam satu kenyataan bulan lalu.

Bersangka baik

Sayangnya, kata Ahmad Fadhli, tulisan mengaitkan PAS dengan perbuatan itu ditulis dengan bersandarkan kepada laman sosial yang dimiliki oleh Mufti Perlis sendiri.

“Saya berbaik sangka bahawa Mufti Perlis tidak merestui tulisan ini, namun membiarkan penulis seperti ini mempunyai akses ke atas laman tersebut boleh membayangkan bahawa ia mewakili Mufti Perlis secara tidak langsung.

“Pada saya admin ini sungguh tidak berakhlak. Tunggulah siasatan polis selesai terlebih dahulu. Jikapun benar ahli parti melakukan perbuatan tersebut, adakah tindakan seorang dua ahli itu membayangkan pendirian rasmi parti?

“Jika demikian bolehkah dikatakan tidak berakhlaknya admin laman ini membayangkan tidak berakhlaknya tuan punya laman tersebut?” soalnya lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Mohd Nazree Mohd Aris mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden kereta Mufti Perlis dibakar pada 22 Mac lalu.

Katanya, anggota terbabit ditahan reman empat hari mulai semalam.

Bagaimanapun, Nazree menyuarakan kehairanannya kerana menurutnya, suspek utama yang dicari merupakan penagih dadah, sedangkan anggota Unit Amal yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Seperti Ahmad Khalid, Nazree turut melahirkan kekecewaan terhadap paparan gambar dua anggota mereka dalam laman Facebook DrMaza.com, yang disifatkan sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.

Lihat Komen