malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Memandangkan kerajaan PH sudah berusia setahun dan banyak penilaian dibuat oleh pelbagai pihak - termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri - maka eloklah satu tindakan susulan yang menyeluruh dibuat.

Pada 6 Mei lalu, Mahathir dilaporkan berkata beliau memberikan markah 50 peratus kepada anggota kabinet berbanding 40 hingga 50 peratus lima bulan sebelumnya.

Tetapi sebelum saya meneruskan perbincangan tajuk ini, izinkan saya membuat sedikit penjelasan mengenai analisis saya bertajuk “Kerajaan PH Terdedah Kepada Sabotaj” yang tiba-tiba tular di media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Itu rencana lama. Ia ditulis dan disiarkan dalam blog saya pada 20 Okt tahun lalu – lama sebelum kerajaan PH menyambut ulang tahun pertamanya pada 9 Mei lalu.

Walaupun bukan perbuatan saya menyebar semula rencana itu, namun saya memohon maaf seandainya timbul kekeliruan dan kegusaran akibat merebaknya tulisan berkenaan.

Kalau boleh, izinkan saya mencadangkan kepada penggiat media sosial agar melawat blog saya bagi memperoleh maklumat terbaru dan langsung.

Kadang-kadang berita yang ditulis semula dan disiarkan oleh media masa tidak berapa tepat dan bukan yang terbaru.

Jangan dipenjara janji

Berbalik kepada keperluan PH membuat penilaian komprehensif dan menjajarkan semula janji-janji pilihan raya umum (PRU), dasar, rancangan dan pelantikannya, saya yakin ia boleh membantu memulihkan semula keyakinan dan sokongan orang ramai.

Mana-mana janji PRU, dasar dan rancangan yang tidak sesuai, tidak praktikal dan bertindih, ia hendaklah dipinda atau digugurkan langsung.

Janji PRU, dasar dan rancangan adalah ciptaan kita sendiri. Jadi kita janganlah terlaku terikat atau terpenjara kerananya.

Lagipun, janji-janji itu kita rangka ketika kita masih jadi pembangkang dan banyak maklumat adalah tidak lengkap atau tidak tepat.

Sekarang kita tahu keadaan sebenar - yang nyata lebih buruk daripada yang kita jangkakan - maka kita berhak dan wajib membuat penyesuaian.

Begitu juga dengan watak-watak yang kita lantik untuk menganggotai kabinet atau menjadi menteri besar, ketua menteri dan exco kerajaan negeri.

Jika ada yang masih merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab, menjadi kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka dan - jika mereka berasa perlu - mengundurkan diri secara sukarela supaya orang lain boleh dilantik sebagai pengganti.

Saya rasa tempoh setahun sudah cukup lama. Mungkin tidak kepada penjawat, tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh harapan, tempoh setahun itu mungkin macam selama-lamanya.

Setahun – 12 bulan, 52 minggu dan 365 hari – adalah cukup lama bagi rakyat kerana mereka mengharapkan perubahan dan pembaikan apabila mereka mengundi PH.

Kita hanya mampu memberi pandangan dan menaruh harapan. Selebihnya adalah hak dan budi bicara perdana menteri untuk memikirkan tindakan sewajarnya.

Perdana menteri tentu lebih arif kerana beliau sendiri memberi markah 50 peratus sahaja kepada anggota kabinetnya.

Pada fahaman saya, ini adalah markah purata. Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti.

Rakyat jelata- khususnya yang mengundi PH - berhak untuk membuat penilaian siapa pada pengetahuan dan pandangan mereka, berjaya atau gagal memenuhi aspirasi.

Bersekongkol secara tak langsung

Begitu juga dengan lantikan penting dalam perkhidmatan awam, agensi amanah dan syarikat berkaitan kerajaan.

Semua orang tahu ramai pegawai tinggi lantikan kerajaan kleptokrasi BN masih dalam jawatan masing-masing. Malah ada yang dinaikkan pangkat kerana mereka layak atau kerana proses kenaikan pangkat biasa.

Kita juga tahu, ada saki-baki lantikan bekas kerajaan BN yang masih setia kepada bos lama mereka, atau terikut-ikut cara dahulu.

Secara langsung dan tidak langsung mereka ini bersekongkol mensabotaj kerajaan PH demi mengekalkan jawatan masing-masing.

Ini kerana mereka tahu bahawa hanya dengan cara itu saja mereka boleh melindungi dan merahsiakan keterlibatan masa lampau masing-masing.

Pada dasarnya, perkhidmatan awam adalah berkecuali dan setia kepada kerajaan yang memerintah – the government of the day.

Tetapi virus kerajaan kleptokrasi telah menjangkiti darah daging sebahagian daripada mereka akibat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ramai yang menggunakan reversed psychology dengan mendakwa mereka dianaktirikan dan dianiaya oleh kerajaan PH.

Sudah sampailah masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bekerjasama dengan kerajaan membuang virus ini supaya cabang eksekutif dan pentadbiran boleh berganding bahu berkhidmat untuk negara dan rakyat jelata.

Begitu jugalah dengan pengurusan agensi amanah dan syarikat berkiatan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Mana-mana yang tidak sehati dengan kerajaan PH atau berasa kurang layak, eloklah mengundurkan diri.

Tidak terkecuali ialah ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang dilantik oleh PH sendiri.

Sekiranya mereka didapati tidak memenuhi syarat dan aspirasi lantikan, kerajaan wajiblah berterus terang dan menasihatkan mereka agar berundur atau disingkirkan.

Tindakan yang sama perlu diambil ke atas ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada organisasi atau yang terlibat dengan jenayah korporat.

Kita dapati ada anggota pengurusan kanan yang membayar diri mereka sendiri gaji, elaun dan kemudahan yang berpuluh juta ringgit nilainya setahun sedangkan gaji kakitangan bawahan pada kadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Amalan dan tabiat ini amat tidak secocok dengan saranan Mahathir di persidangan “Invest Malaysia” Mac lalu agar pengurusan berkongsi keuntungan secara lebih adil dan saksama dengan pekerja.

Mana-mana pengurusan yang mengambil jalan mudah memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan, wajib dianggap sebagai pengurusan lemah dan gagal.

Kesimpulannya, setelah setahun memerintah, kerajaan PH wajib menilai semula keberkesanannya dalam konteks janji pilihan raya dan aspirasi rakyat jelata, dan melakukan penyesuaian.

Saya amat yakin majoriti rakyat jelata boleh menerima realiti semasa jika kerajaan bertindak secara bijaksana, telus dan terbuka.

Tetapi mereka akan menghukum kita kalau kita bertindak defensif, memutar-belitkan fakta dan cuba menegakkan benang kering.

Ingatlah, benang kering akan bertiup dalam angin dan tidak berguna. Tetapi benang basah boleh dipintal hujungnya dan dimasukkan ke lubang jarum untuk menjahit kain yang koyak.


A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen