malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
6 maut, 200 cedera dalam himpunan bantah kemenangan Jokowi
ADS

GLOBAL | Beberapa siri rusuhan berlaku di sekitar Jakarta awal pagi tadi, yang menurut polis Indonesia dilakukan secara terancang oleh kelompok-kelompok tertentu, yang membantah keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019)

Gabernor Jakarta, Anies Baswedan mendakwa enam orang terbunuh, manakala 200 dilaporkan cedera dalam insiden itu.

"Setakat jam 9 pagi tadi, enam terbunuh, 200 cedera," katanya dipetik media tempatan.

Bagaimanapun Ketua Divisyen Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal, tidak mengesahkan perkara itu, sebaliknya berkata polis masih menyiasat dakwaan itu.

"Demonstrasi di beberapa tempat sejak lewat malam tadi sehingga awal pagi tadi, bukanlah 'demostrasi massa spontan' tetapi dilakukan oleh sekelompok kira-kira 200 orang secara terancang bagi menjejaskan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jakarta antara jam 11 malam tadi sehingga jam 5 pagi tadi, dengan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, molotov coctail dan mercun kepada pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

M Iqbal berkata polis bertindak menyuraikan perusuh dengan menggunakan gas pemedih mata, dan menafikan menggunakan peluru hidup, seperti yang tersebar dalam media sosial.

"Perusuh itu kita dapati bukan asal Jakarta, tetapi dari luar Jakarta, dari Jawa Barat, dan terdapat sebuah ambulan ditahan yang tertera logo parti (tidak dinamakan), yang penuh dengan batu, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata, ada perusuh cedera tapi belum ada datanya," katanya.

Beliau berkata sebanyak 14 kenderaan juga dibakar perusuh dalam kejadian rusuhan pagi tadi, dan polis telah menangkap hampir 100 perusuh.

Sehingga tengah hari ini, keadaan di Jakarta masih terkawal dengan lebih 50,000 anggota polis dan tentera mengawal tempat- tempat strategik di Jakarta.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, meminta rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mengelak daripada berada di kawasan yang terjejas.

"Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, diminta hubungi talian: +62215224947 /+6281380813036 (selepas waktu pejabat).

- Bernama

Lihat Komen