malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Apa boleh disimpulkan dari Pilihan Raya Presiden Indonesia?
ADS

ULASAN | Kota Jakarta dibanjiri dengan lautan manusia berbaju putih yang melaung takbir. Sepanduk, panji-panji tulisan jawi dijulang, sambil wajah Ahok, bekas Gabenor Jakarta, yang dituduh menghina Islam, dibakar dan dipijak-pijak oleh penunjuk perasaan.

Indonesia adalah sebuah negara sekular yang mempunyai jumlah umat Islam teramai di dunia. Ia mengamalkan sistem perundangan yang unik, termasuklah mempunyai wilayah yang diberi kebebasan autonomi untuk melaksanakan undang-undang syariah, seperti Acheh.

Namun secara pusat, asas undang-undang Indonesia adalah undang-undang sekular.

Kebangkitan Islam di Indonesia bermula apabila Ahok dituduh menghina al-Quran. Ahok dituduh tidak menghormati kesucian ayat al-Quran, dan beliau telah didakwa meremehkan ayat al-Quran dalam satu ceramahnya.

Titik permulaan kebangkitan Islam adalah dari kes Ahok. Maka wujud dua sisi pandangan ulama, satu yang mempertahankan Ahok dan satu lagi yang menghukum Ahok.

Momentumnya seakan tidak boleh berhenti, ibarat tayar yang bergolek dari atas bukit; Ahok terus dikecam sehingga menjadi punca demonstrasi besar-besaran di Jakarta.

Setelah tekanan demi tekanan diberikan, pihak berkuasa menahan Ahok dan Ahok dibicarakan. Ahok didapati bersalah dan dipenjarakan selama 2 tahun.

Lanjutan daripada itu, pro-Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sekular Indonesia. Ini tidak dijangkakan boleh berlaku di sebuah negara sekular seperti Indonesia.

Pro-Islam memperkemas langkah mereka, matlamat seterusnya adalah; Pancasila.

Serangan ke atas Pancasila

Pancasila adalah asas penubuhan negara bangsa Indonesia. Berbeza dengan Rukun Negara Malaysia yang tidak dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, Pancasila diletakkan sebagai batu asas dalam Perlembagaan Indonesia 1945.

Pengasas kepada idea Pancasila adalah Sukarno. Sukarno pada asalnya mahu Indonesia melaksanakan hukum Islam, kerana itu beliau merangka prinsip pertama Pancasila seperti berikut:-

“Ketuhanan dengan kewajiban menjalankan syariah Islam bagi pemeluk-pemeluknya”

Malangnya, rakan-rakan Sukarno dalam Badan Penyelidik Usaha-usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) tidak bersetuju dengannya.

Selepas perbincangan demi perbincangan, Sukarno akur kepada BPUPKI yang beliau tubuhkan sendiri untuk menggugurkan perkataan syariah Islam kepada:-

“Ketuhanan Yang Maha Esa”

Okeh kerana itu Pro-Islam di Indonesia melihat Pancasila merupakan halangan kepada penubuhan negara Islam di Indonesia. Lantas, serangan ke atas Pancasila dilancarkan.

Serangan demi serangan ke atas Pancasila sudah pun berlaku sejak kemerdekaan negara itu. Ini kerana pro-Islam percaya niat Sukarno untuk menubuhkan negara Islam telah ‘dicantas’ oleh pihak-pihak pro-sekularism.

Suharto sendiri sudah mengharamkan banyak pertubuhan bukan kerajaan yang menentang Pancasila sepanjang pemerintahannya.

Presiden Indonesia yang kini, Joko Widodo atau lebih popular dikenali sebagai Jokowi juga melakukan langkah yang sama, apabila beliau mengharamkan Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia Hizbut Tahrir Indonesia (HTI), yang mempunyai 90 juta pengikut pada tahun 2017.

Rata-rata penganalisis politik merumuskan tindakan Jokowi adalah merupakan kesilapan besar kerana HTI sangat berpengaruh di Indonesia.

Namun Jokowi tetap mempertahankan keputusannnya, dan bertegas akan melindungi dan mempertahankan Pancasila sebagai asas negara bangsa Indonesia.

Jokowi seru rakyatnya untuk kembali kepada matlamat asal Pancasila, iaitu sebagai asas negara yang menghormati dan meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di Indonesia.

Banyak rumah ibadat bukan Islam di Jakarta menaikkan kain rentang Pancasila sebagai sokongan kepada seruan Jokowi yang mahu Indonesia kekal sekular.

Tindakan Jokowi ini nyata digunakan sebagai modal kempen Pilihanraya Presiden 2019 (Pilpres) oleh musuh politiknya.

Gandingan Prabowo-Sandi, bekas Jeneral TNI dan bekas timbalan Gabenor Jakarta ini laju melaungkan hak dan kebebasan ulama di Indonesia jika mereka menang Pilpres pada kali ini.

Logik 'enam peratus' Prabowo

Prabowo memainkan sentimen Islam dalam kempennya tetapi berhati-hati untuk tidak menyentuh pemansuhan Pancasila. Menyokong untuk membubarkan Pancasila adalah merupakan ‘political suicide’ (bunuh diri politik) kepada mana-mana calon.

Prabowo dan pro-Islam boleh bergabung bukan kerana Prabowo setuju menubuhkan negara Islam tetapi hanya kerana mereka berdepan dengan musuh yang sama; Jokowi.

Prabowo merupakan musuh lama politik Jokowi, yang pernah tewas dalam Pilpres 2014 kepada Jokowi dengan hanya enam peratus undi.

Pro-Islam juga sedar Prabowo tidak mampu untuk memansuhkan Pancasila, yang dianggap sudah sebati dengan Perlembagaan Indonesia tetapi dendam pada Jokowi mematikan semua ketidakpastian itu.

Matlamat mereka hanya satu - Jokowi tersungkur menyembah bumi pada Pilpres kali ini.

17 April 2019, Indonesia memilih. Prabowo yang didukung oleh majoriti ulama di Indonesia, yakin dapat menumbangkan Jokowi pada kali ini.

Logik Prabowo, yang hanya tewas tipis enam peratus kepada Jokowi pada Pilpres tahun 2014, pasti dapat memenangi Pilpres pada kali ini kerana disokong oleh pro-Islam, sesuatu yang tidak beliau perolehi pada tahun 2014. Maka sudah tentu peluang untuk memenangi Pilpres pada kali ini lebih cerah.

Ternyata sangkaan Prabowo meleset, apabila tewas kepada Jokowi dengan majoriti yang lebih besar (10 peratus) berbanding enam peratus pada tahun 2014.

Indonesia telah bersuara bahawa mereka mahu kekal dengan Pancasila. Kemenangan ini menunjukkan Indonesia selesa dengan asas negara bangsa sedia ada dan menolak sebarang perubahan atau tentangan terhadap Pancasila.

Kemenangan ini juga bermakna Prabowo gagal menumbangkan Jokowi untuk kali kedua berturut-turut, sesuatu yang mungkin tidak disangkakan olehnya memandangkan sokongan pro-Islam dilihat sebagai pengaruh yang boleh mengubah landskap politik Indonesia.

Kemenangan Jokowi yang membawa perwatakan ‘moderate Islam’ dilihat boleh mengimbangi gelora kebangkitan NGO Islam di negara kepulauan terbesar di dunia itu.

Kekalahan Prabowo yang merupakan calon dengan imej 'pro-Islam' adalah signifikan untuk dikaji oleh pengkaji geopolitik di rantau Asia Tenggara, tentang bagaimana majoriti 225 juta penduduk Islam negara tersebut memilih untuk kekal bersama Indonesia yang ‘sekular’.


MOHAMAD SIDDIQ AZANI merupakan seorang peguam dan pemerhati politik Asia Tenggara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen