malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: MAS, Japan Airlines dalam proses jalin kerjasama
Diterbitkan:  May 22, 2019 12:18 PM
Dikemaskini: 4:32 AM
ADS

Cadangan kerjasama antara Malaysia Airlines (MAS) dan Japan Airlines Co Ltd (JAL) kini dilaporkan dalam proses rundingan awam.

Menurut laman The Malaysian Insight yang memetik Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kertas perundingan yang memperincikan perkara itu akan dipaparkan di laman web Mavcom sehingga 27 Mei ini.

Jurucakap Mavcom berkata, tempoh masa bagi keputusan untuk permohonan berbeza mengikut kes.

“Tempoh masa untuk penilaian pengecualian individu berbeza berdasarkan kes demi kes bergantung kepada faktor-faktor seperti kerumitan kes dan kerjasama pemohon," kata jurucakap itu seperti dipetik.

Menurut laporan itu, MAS baru-baru ini mengesahkan telah menghantar permohonan kepada Mavcom, untuk mendapatkan pengecualian individu di bawah Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 agar boleh menjalinkan kerjasama dengan JAL.

Pengecualian itu berkaitan Seksyen 49 Akta tersebut, yang melarang persetujuan antara perusahaan yang mungkin boleh memberi kesan kepada persaingan, atau bermatlamat menghalang dan mengganggu persaingan dalam pasaran perkhidmatan penerbangan.

"MAS mengesahkan yang ia sudah menghantar permohonan untuk pengecualian individu di bawah Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia 2015 kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk kerjasama perniagaan dengan JAL untuk penerbangan antara Malaysia dan Jepun.

“Perniagaan kerjasama ini tertakluk kepada kelulusan pengawalselia (Mavcom) dan MAS akan berkongsi butiran lanjut sebaik sahaja kelulusan diperolehi," kata MAS seperti dipetik laman itu.

Menurut laporan itu lagi, MAS dan JAL memiliki pengalaman berdepan masalah kewangan tetapi JAL berjaya mengatasi status bangkrap yang difailkan pada 2010 untuk menjadi antara syarikat penerbangan paling menguntungkan di dunia.

MAS bagaimanapun terus mencatat kerugian walau dengan pelan pemulihan oleh Khazanah Nasional Bhd.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan sedang menilai beberapa pilihan berkenaan masa depan syarikat penerbangan itu.

Lihat Komen