malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis tingkat kawalan sempadan Kelantan-Thailand
ADS

Polis Kelantan akan meningkatkan kawalan sempadan dengan Thailand bagi memastikan tidak berlaku sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Thailand dalam mengawal sempadan bersama amat erat terutamanya dengan pasukan polis marin Thailand dan pasukan peronda sempadan Thailand.

"Kita juga ingin menasihatkan mana-mana pihak yang mahu berulang-alik di sempadan agar menggunakan laluan yang sah.

"Sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa sudah pasti bakal menyusahkan diri sendiri di samping berhadapan dengan denda yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Iftar Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dekat Kuala Takbai, Selasa malam.

Hadir sama, Ketua Inspektor Polis Marin Stesen 3 (Narathiwat), Leftenan Kolonel Natphong Takew, Ketua Inspektor Polis Marin Stesen 4 (Takbai), Mejar Thampapon Chuangcham serta Timbalan Komander Polis Sempadan Diraja Thailand, Kapten Abdulhakim Chekmoh.

Mengulas lanjut mengenai kegiatan lintas sempadan secara haram, Hasanuddin berkata ketika itu (musim perayaan) mungkin akan wujud alasan daripada pihak tertentu yang mengatakan jarak yang jauh menyebabkan berlakunya perbuatan tersebut.

Jelasnya, apa juga alasan sekalipun penduduk di sempadan mesti patuh dengan undang-undang yang ada termasuklah warga asing yang menggunakan laluan haram disebabkan tidak memiliki dokumen yang sah.

"Menjelang musim perayaan mungkin ramai yang membuat tanggapan kononnya kawalan keselamatan akan menjadi longgar namun bagi kami, ketika itu sebenarnya kawalan semakin diperketatkan.

"Agensi lain di sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bersama-sama dalam memastikan kawalan lebih diperketatkan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen