malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis masih siasat laporan dibuat SPR pada 7 PRK
Diterbitkan:  May 21, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 9:03 AM
ADS

PARLIMEN | Laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kesalahan pilihan raya pada tujuh PRK lalu masih dalam penyiasatan pihak berkuasa itu, maklum Timbalan Menteri di JPM Hanipa Maidin.

"SPR telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap kesalahan-kesalahan pilihan raya yang telah berlaku semasa PRK tersebut.

"Laporan polis yang telah dibuat adalah merujuk kepada kesalahan pilihan raya semasa tempoh berkempen seperti ceramah tanpa permit, pemasangan bahan kempen pilihan raya di lokasi yang tidak dibenarkan dan penularan imej kertas undi di media sosial.

"Selain itu, SPR juga telah membuat laporan polis bagi kesalahan-kesalahan pilihan raya semasa Hari Mengundi seperti pewujudan barung/pondok panas, aktiviti berkempen dan merayu undi oleh penyokong-penyokong parti pada hari mengundi.

"Justeru, laporan polis tersebut masih dalam tindakan siasatan oleh pihak PDRM," kata beliau pada jawapan bertulis parlimen awal bulan ini.

Sementara itu, Hanipa juga memaklumkan sejumlah 87 kertas siasatan dibuka selepas pihak polis menerima laporan oleh berbagai pihak.

"Tindakan yang telah diambil terhadap salah laku pilihan raya yang dilakukan oleh individu dan parti sepanjang beberapa pilihan raya kecil yang telah berlangsung selepas pilihan raya umum ke-14 ialah membuka sebanyak lapan puluh tujuh kertas siasatan.

"Daripada lapan puluh tujuh kertas siasatan tersebut, dua kes telah dibuat pertuduhan; satu kes akan dibuat pertuduhan; tiga puluh enam kes tidak diambil tindakan selanjutnya (no further action); dan empat puluh lapan kes masih dalam siasatan," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Hanipa berkata daripada jumlah tersebut, dua puluh tiga kes telah dirujuk ke agensi lain bagi tujuan siasatan atau apa-apa tindakan yang wajar oleh agensi yang berkenaan.

Lihat Komen