malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cabaran penyelesaian AS$5.78 bilion 1MDB-IPIC ditangguh
Diterbitkan:  May 21, 2019 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Cabaran Malaysia terhadap penyelesaian sebanyak AS$ 5.78 bilion dengan Syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) di mahkamah United Kingdom ditangguhkan sementara menunggu proses timbangtara antara entiti Abu Dhabi itu dan 1MDB.

Hakim mahkamah London, Robin Knowles berkata beliau membenarkan penangguhan sementara itu untuk membolehkan pusingan kedua timbang tara yang dibawa oleh IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS terhadap 1MDB, lapor Bloomberg.

Laporan itu mengatakan Knowles telah menyerahkan keputusan penghakiman secara peribadi pada 8 Mei tetapi kini dilakukan secara terbuka atas dasar kepentingan awam, termasuk rakyat Malaysia.

Malaysia mencabar penyelesaian yang dilakukan ketika Najib Razak menjadi perdana menteri berdasarkan alasan ia diperoleh melalui penipuan.

Peguam Negara Tommy Thomas pada Oktober lalu, berkata Najib bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Malaysia mendakwa bahawa akibat penipuan itu, kami terlepas daripada sebarang obligasi untuk membayar kira-kira AS $ 4.32 bilion kepada IPIC atau Aabar di bawah award persetujuan (consent award), dan juga mempunyai hak untuk mendapatkan kembali AS$ 1.46 bilion yang telah dibayar," kata Thomas.

Najib, yang kini menghadapi 42 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung skandal 1MDB, telah berusaha melakukan penyelesaian dengan IPIC walaupun berbilion dana 1MDB telah dibayar ke syarikat itu.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, kira-kira AS$ 3.5 bilion yang berasal dari 1MDB telah didepositkan ke syarikat yang mempunyai nama yang hampir sama dengan Aabar Investment tetapi tidak mempunyai hubungan dengan IPIC.

Ini dilakukan dengan penglibatan pegawai IPIC untuk kepentingan para pegawai termasuk Najib dan rakan-rakannya.

Dalam penyelesaian itu, kerajaan diterajui Najib juga bersetuju mengetepikan kewajipan IPIC dalam jaminannya terhadap dua bon dengan jumlah yang sama tetapi berasingan sebanyak AS$ 3.5 bilion.

Lihat Komen