malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ulama PAS cabar DAP solat, sujud bersama
Diterbitkan:  May 20, 2019 12:30 PM
Dikemaskini: 8:37 AM
ADS

Seorang ulama PAS mendakwa wakil-wakil rakyat DAP kini giat berlakon untuk mengelirukan umat Islam di negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani, 'lakonan' tersebut berjaya menambat "beberapa ketul hati" orang Islam di negara ini.

Semasa membuat kenyataan itu melalui media sosial, Ahmad Dusuki melampirkannya dengan sekeping gambar Menteri Kewangan Lim Guan Eng sedang menjamah makanan, di percayai pada majlis berbuka puasa.

“Beberapa tindakan 'lakonan' pemimpin DAP terhadap umat Islam di Malaysia ini hampir sahaja mengelirukan malahan berjaya menambat beberapa ketul hati orang Islam sehingga sanggup menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

Hantaran bekas calon PAS untuk kerusi DUN Kota Anggerik di Shah Alam itu dikongsikan di Instagram dan Twitter.

Bagaimanapun kenyataan itu dibidas salah serang wakil rakyat DAP Young Syefura Othman.

Adun Ketari di Pahang itu berkata walaupun menjadi ahli politik DAP beliau melakukan ibadah tetap kerana Allah dan sama sekali bukan berlakon.

“Saya solat dan sujud pada Allah bukan lakonan ya ustaz, tapi kerana saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” ciapnya di Twitter.

Wakil rakyat muda itu turut meninggalkan pesanan 'istimewa' buat Ahmad Dusuki.

“Hati tu tolong jangan hitam sangat,” katanya.

 

Kenyataan Dusuki turut mengundang kritikan warganet. Antaranya:

Mohan1976: Anda tidak layak dipanggil ustaz. Apa pun niat terpendam dalam hati manusia, hanya tuhan yang tahu. Kalau anda buat spekulasi, maka itu dipanggil syak wasangka. Seseorang yang berpendidikan agama, bergelar ustaz harus menjadi teladan kepada semua, bukan menjadi pemecah sesama manusia.

Makcik_ain: Pandangan beginilah yang menyebabkan Islam tidak berkembang di Malaysia. Sepatutnya kita galakkan orang bukan Islam rapat dengan Islam, kenali keindahan Islam. Kat negara kafir lagi ramai orang peluk Islam berbanding di Malaysia.. sedih!

 

Zarihberteau: Apa agama mereka, sesungguhnya Islam tak pernah melarang dan memaksa agama lain untuk terima Islam. Tiada paksaan dalam beragama. Mereka dengan agama mereka dan Muslim dengan agama Islam. Hidup muhibah, hormat menghormati sesama manusia. Jangan malukan Islam ustaz. Ingat apa Rasulullah ajar.

Ketika ini ada enam wakil rakyat Melayu dan Islam mewakili DAP di peringkat DUN. Selain Young Shefura, mereka ialah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Sheikh Omar Ali (Paloh), Edry Faizal (Dusun Tua), Syerleena Rashid (Bukit Bendera) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).

Ahmad Dusuki menasihatkan, umat Islam diminta jangan terpedaya dengan "lakonan hebat" berkenaan kerana mendakwa sejarah penipuan yang pernah terjadi sudah terlalu panjang.

"Jika benar DAP dan sekutu mereka meletakkan Islam sebagai keutamaan, kita cabar mereka, jom bersolat dan sujud bersama kami, laksanakan janji penghapusan tol dan bayaran PTPTN yang di janjikan di dalam manifesto mereka itu.

"Jom laksanakan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Gentar?" tulisnya lagi.

Lihat Komen