malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Yeoh kemuka dua cadangan untuk projek Taman Rimba Kiara
ADS

Dua cadangan alternatif yang dibentangkan untuk projek Taman Rimba Kiara menunjukkan mereka yang membantah projek itu sanggup berkompromi atas tuntutan mereka, kata anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam sesi townhall pagi ini.

Bercakap kepada kira-kira 500 penduduk Taman Tun Dr Ismail, Yeoh memberi respons terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang sebelum ini berkata "penyelesaian menang-menang" boleh dicapai jika semua pihak sanggup berkompromi.

"Dari semua bukti yang dibentangkan, ia menunjukkan bahawa saya tidak hanya menentang projek itu.

"Kami cuba lebih munasabah, kami cadangkan idea-idea alternatif, dan kami sanggup berkompromi ...," katanya.

Beliau juga menegaskan dalam kedua-dua cadangan tersebut, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mesti mengembalikan Taman Rimba Kiara kepada kerajaan untuk kesemua 25 ekar diwartakan sebagai taman awam.

Menurut Yeoh, kompromi yang dicadangkan itu adalah bagi membenarkan pembangunan diteruskan hanya dalam kawasan tanah seluas 4.4 ekar yang diduduki oleh penduduk rumah panjang, tanpa menjejaskan tanah Taman Rimba Kiara.

"Kami berdiri teguh dan mencadangkan dua penyelesaian. Satu untuk membatalkan keseluruhan projek, kembalikan tanah itu kepada kerajaan dan buat tender terbuka untuk membina rumah bandar yang dicadangkan untuk penduduk rumah panjang.

"Cadangan lain adalah untuk memulangkan tanah taman itu kepada kerajaan dan membenarkan projek itu dibina dalam tapak rumah panjang dan tidak menceroboh taman," katanya.

"Kami telah mengenal pasti lokasi sementara untuk penempatan penduduk rumah panjang Bukit Kiara jika cadangan untuk rumah bandar diluluskan," katanya.

Yeoh berkata beliau telah beberapa kali bertemu Khalid untuk membincangkan isu itu.

Malah sekumpulan anggota Parlimen Wilayah Persekutuan juga dijadualkan sekali lagi membangkitkan bantahan mereka pada pertemuan yang akan datang dengan menteri berkenaan.

Pada Khamis lalu, Khalid berkata di bawah cadangan mengecilkan projek melibatkan kira-kira lapan ekar tanah, pemaju akan mengembalikan separuh daripada tanah itu kepada penduduk yang terjejas.

Manakala bilangan blok pangsapuri pula akan menjadi separuh daripada 4 kepada dua blok..

Dalam situasi itu, Khalid menegaskan pemaju akan mendapat bahagian mereka, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dapat menjimatkan wang dan penduduk akan mendapat semula empat ekar tanah.

Selain itu katanya rancangan pembangunan tidak akan menjejaskan taman itu kerana ia hanya menggunakan kawasan parkir kereta dan tapak rumah panjang.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen