BERITA

Sentimen perkauman kini ada naratif baru, kata Anwar

Zikri Kamarulzaman

16 May 2019, 2:26 pm

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Anwar Ibrahim memberi amaran kini ada naratif baru perkauman yang membelenggu negara ini dan ia tidak terhad kepada orang Melayu semata-mata.

Kata presiden PKR itu sesetengah orang percaya alat perkauman itu hanya dalam kalangan orang Melayu saja, sedangkan pada realitinya tidak begitu.

"Ancaman sekarang ini, ada naratif baru tentang perkauman.

"Ini bukan soal Melayu sahaja.. ada anggap bahawa alat perkauman itu hanya dalam kalangan Melayu. Itu tak benar," katanya pada sidang media ringkas di Bangi malam ini.

Anwar sebelum itu menghadiri majlis berbuka puasa bersama pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Menurut anggota parlimen Port Dickson itu sentimen perkauman juga wujud dalam kalangan orang India dan Cina.

Malah katanya ada ketikanya naratif yang ditonjolkan itu agak keterlaluan.

"(Sebagai contoh) mereka menganggap kalau isu kemiskinan, ia hanya dalam kalangan orang India.

"Kalau mengenai perniagaan, ia (hanya) mengenai ahli perniagaan Cina dan orang Melayu diketepikan," katanya.

Anwar menghadiri majlis iftar perdana di Bangi

Menurut Anwar naratif mengenai isu kemiskinan atau peluang perniagaan mesti melibatkan semua kaum kerana ia memang memberi kesan secara menyeluruh.

Terdahulu Anwar ditanya sama ada laporan mengenai tragedi 13 Mei 1969 wajar didedahkan kepada umum.

Katanya hal itu wajar dilakukan oleh para pengkaji sejarah.

"Saya nak lihat ke depan, dan ancaman sekarang ini ialah adanya naratif baru tentang perkauman," katanya.

Mengenai usaha perpaduan di antara kaum, Anwar berkata pertubuhan seperti Abim mesti memainkan peranan lebih besar ke arah matlamat itu.

Katanya pertubuhan seperti itu mesti menangani naratif yang dibawa kumpulan lain yang ekstrem dan mencetuskan rasa gelisah orang ramai.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.