malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan murka MP berucap dalam masjid, Pang bela diri
Diterbitkan:  May 16, 2019 4:17 PM
Dikemaskini: 8:18 AM
ADS

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang ahli politik DAP yang dianggap mencabul kesucian Islam apabila berpolitik dalam masjid.

Dalam satu kenyataan Sultan Ibrahim berkata sebagai ketua agama Islam di Johor baginda tidak apologetik untuk mengambil pendirian bahawa semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di negeri itu dihentikan.

Kata baginda langkah itu dibuat demi menjamin kesucian, ketertinggian Islam dan maruah Islam terpelihara, selain menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat terus dinikmati oleh Bangsa Johor.

"Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Johor hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi," tidak baginda.

Kata Sultan Ibrahim, baginda yakin ahli parlimen dan parti-parti yang diberi kuasa akan menafikan mereka membuat apa-apa ucapan politik dalam majlis itu.

"Bagaimanapun, saya konsisten menekankan bahawa masjid dan surau dihalang daripada melakukan apa-apa aktiviti politik.

"Ini kerana sebahagian besar kegiatan yang dianjurkan oleh politik boleh mewujudkan konflik, penghinaan dan fitnah demi meraih populariti mereka,” katanya.

Cuma berucap pendek

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan tersebut diyakini merujuk kepada kehadiran Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Pang dikhabarkan hadir ke masjid untuk menyampaikan sumbangan. Gambar Pang berucap kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ.

Sementara itu Pang ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa berucap di majlis berkenaan.

Katanya dia datang ke situ hanya untuk menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadan.

Pang juga mendakwa dia tidak tahu mengenai pekeliling dikeluarkan Maij yang melarang seseorang ahli politik berucap di masjid Johor.

"Saya tidak menyentuh apa-apa mengenai politik. Ucapan saya pendek saya dan mengenai pengumuman bantuan serta mengucapkan selamat menyambu Ramadan. Itu saja," katanya.

Tambah Pang, pada awalnya dia menjalankan aktiviti tersebut di luar masjid, namun kemudian diajak masuk untuk berucap.

Pang juga berkata dia tidak perlu diingatkan bahawa masjid harus bebas daripada politik.

"Pada masa yang lalu, ketika saya berada di pembangkang, kami telah memperjuangkan bahawa semua tempat ibadah tidak boleh digunakan untuk politik dan saya kekal dengan sikap begitu," katanya.

Menurutnya lagi jika umat Islam mahu orang bukan Islam menghormati Islam, mereka harus lebih ramah dan sopan.

"Ketika saya berada di masjid, persekitarannya adalah baik, saya berasa aman, damai dan harmoni," katanya.

[Baca berita penuh]


Wartawan Zikri Kamarulzaman menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen