malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Semalam penuh juga di Timeline Twitter saya dengan ulasan daripada Dr Eric Loo di Malaysiakini yang bertajuk “Time to open UiTM to all Malaysians”.

Dalam Bahasa Malaysianya ia bolehlah diterjemahkan kepada “Masanya sudah tiba untuk UiTM dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia”.

Saya berniat untuk tidak membalas tulisan Dr Eric Loo tersebut; perdebatan dari sudut perundangan atau sosioekonomi mahupun hujah berasaskan emosi dan sentimen sama ada UiTM perlu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera bukanlah sesuatu yang baru timbul semalam.

Kira-kira sepuluh tahun lepas, telah ada cadangan sedemikian dilontarkan oleh seorang ahli politik dan akibatnya, bilik saya didatangi oleh pelajar yang tak dikenali dan meminta saya dan kawan-kawan sebilik untuk memakai kemeja-T hitam untuk membantah cadangan tersebut.

Untuk saya, status UiTM bukanlah sesuatu yang perlu didebatkan; sesiapa pun berhak untuk mengutarakan pendapat meskipun ada yang mati-mati mengatakan orang bukan Melayu tak perlu sembang pasal UiTM.

Hakikatnya, orang bukan Melayu jugalah yang menjadi “arkitek” untuk menaikkan status Institut Teknologi Mara kepada status universiti dan bukanlah duit cukai orang Melayu atau bumiputera sahaja yang digunakan untuk memastikan kewujudan UiTM sehingga ke hari ini.

Apa yang lebih penting ialah isi di dalam UiTM itu sendiri.

Matlamat asal

Ia diwujudkan untuk memenuhi matlamat asalnya iaitu membantu kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan akses pendidikan tertiari dan seterusnya menjadi golongan profesional.

Sewaktu menjadi mahasiswa di UiTM kampus Shah Alam, pengangkutan yang saya gunakan ialah bas atau membonceng motosikal kawan.

Kalau rasa nak “jual saham” di hadapan mahasiswi yang duduk di perhentian bas, maka berjalan kaki adalah pilihan yang efektif untuk penjualan saham itu. Ini kerana saya memegang kata-kata ayah “Kalau nak pakai kereta, pergi beli sendiri.”

Sebagai seorang mahasiswa yang hidupnya kais pagi makan pagi tak kais mati di petang hari, maka itulah mod pengangkutan yang ada selama empat tahun. Tetapi yang mengagumkan saya ialah padang kawad penuh dengan kereta-kereta yang dibawa oleh mahasiswa.

Kalau nak bersangka baik, harga kereta tak adalah mahal sangat dan mereka yang bawa kereta ini mendapat hadiah daripada ibu bapa kerana dapat masuk UiTM. Yang lebih menakjubkan, ada mahasiswa yang bawa kereta berjenama Mini Cooper dan lain-lain jenama yang berdarjat tinggi. Bukan main mahalnya.

Waktu belajar di situ juga, berkencang khabar angin kononnya ada mahasiswa yang keputusan SPM biasa-biasa dan tak layak pun untuk belajar dalam kursus pengajian tersebut tetapi disebabkan ayah atau ibunya adalah “individu penting” kepada agama, bangsa dan negara maka dapatlah beliau belajar di situ.

Harapnya khabar angin itu hanya sekadar angin sepintas lalu yang tidak benar sumbernya.

Kursus jati diri

Bukan sahaja mahasiswa yang mampu bawa kereta mahal-mahal masuk dalam UiTM, pensyarah juga apa kurang hebatnya. Setiap semester, kami perlu menghadiri semacam kursus jati diri dalam satu hujung minggu dan masih segar dalam ingatan saya sewaktu semester kedua, hadirlah seorang pensyarah ini yang memberi ceramah mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Di akhir ceramahnya, beliau mengajak kami datang ke rumah yang menurutnya “tidaklah besar, cukup untuk muat seratus orang saja”.

Beliau juga dikhabarkan pernah memberitahu mahasiswa yang lain bahawa yuran pengajian kami ini sama macam harga tayar kereta beliau (yang secara kebetulan Mini Cooper juga!). Sekali lagi harapnya khabar itu daif sanad dan tidak benar sumbernya.

Situasi ini mungkin terpencil atau minoriti jika hendak dibandingkan dengan UiTM secara keseluruhannya yang mempunyai cawangan kampus di setiap negeri tetapi ia membuatkan saya terfikir adakah UiTM di samping membantu golongan yang betul-betul memerlukan, ia juga menjadi tempat untuk mereka yang datang daripada keluarga berkemampuan untuk hantar anak belajar di universiti lain.

Tidak dinafikan, yuran pengajian di sini lebih murah kerana matlamatnya adalah seperti yang sebutkan tadi, untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera yang memerlukan. Sudah tentu agak pelik jika golongan yang berkemampuan berada di UiTM dan juga membayar yuran yang rendah seperti mahasiswa-mahasiwa lain.

Mentaliti terkepung

Selain daripada itu, pengisian yang saya maksudkan seterusnya adalah budaya atau mentaliti “terkepung” atau eksklusiviti diamalkan dalam universiti ini. Empat tahun di sana, entah berapa banyak kali saya dikenyangkan dengan pesanan bahawa umat Melayu terancam di bumi sendiri dan perlu bersatu dalam menghadapi ancaman ini. Jika tidak bersatu, maka tidak mustahil orang Melayu akan merempat dan mengemis di negara sendiri. Masa itu juga, UiTM digelar benteng terakhir orang Melayu. Ya, orang Melayu sahaja sampai terlupa ada pelajar bukan Melayu yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang belajar di situ.

Seruan ini tidak banyak bezanya dengan parti yang memerintah negara pada waktu itu maka tidak hairan sepanjang empat tahun belajar di situ, hanya ahli politik daripada kerajaan pimpinan Umno/BN sahaja yang dibenarkan masuk berceramah atau buat program di dalam universiti. Saya juga masih ingat pesanan seorang pensyarah masa mula-mula masuk semester pertama yang katanya pendirian UiTM ialah menyokong kerajaan semasa. Harapnya, pendirian itu masihlah sama sehingga ke hari ini walaupun kerajaan semasa tahun 2010 itu berbeza dengan tahun 2019.

Pernah diadakan satu pertemuan bersama perdana menteri keenam di mana semua mahasiswa dan mahasiswi yang tinggal di kolej kediaman diwajibkan hadir dan bekalan elektrik kolej akan ditutup sehingga habis pertemuan tersebut. Memprotes tindakan ini dan juga kerana tak berminat untuk dengar perdana menteri keenam itu bercakap, saya dan beberapa kawan yang lain bertindak untuk keluar dari universiti beberapa jam lebih awal sebelum program tersebut bermula dan masuk balik selepas habis program yang dianjurkan itu.

Bekas naib canselor UiTM dalam satu temu bual yang boleh ditonton di Youtube ada menyatakan kerisauan bahawa mahasiswa akan dicucuk dengan anasir-anasir luar jika mereka diberi kebebasan untuk berpolitik. Secara tidak langsung, fokus utama mahasiswa ditakrifkan sebagai untuk belajar dan bukan berpolitik dua puluh empat jam.

Maka tidak hairan juga pilihan raya kampus UiTM adalah unik berbanding universiti lain. Tidak ada kem Proaspirasi atau Promahasiswa. Tidak ada kempen yang berapi-api dan hangat membara seperti di Universiti Malaya atau UIA. Ini sebabnya calon-calon yang bertanding adalah pilihan HEP dan bertanding mengikut fakulti masing-masing. Selepas itu, akan dipilih pula daripada calon yang menang untuk membarisi saf kepimpinan wakil pelajar di peringkat universiti secara keseluruhan.

Ada juga kes pensyarah ditukarkan ke kampus lain atas “sebab-sebab tertentu” dan yang pastinya sebab tertentu itu adalah bertentangan dengan semangat kebebasan akademik yang sepatutnya dinikmati dan disuburkan dalam semua institusi pengajian tinggi.

UiTM ketinggalan

Mentaliti terkepung dan menjual ketakutan akan ancaman yang tak wujud adalah sesuatu yang menurut saya perlu diubah dalam UiTM. Dalam usaha untuk mengelakkan mahasiswa daripada dicucuk dengan anasir luar, dibawanya ahli-ahli politik daripada sebuah parti sahaja untuk melariskan lagi penjualan budaya menakutkan masa depan umat Melayu ini. Sampai sekarang anasir luar itu pun saya tidak tahu apa maksud dan definisinya.

Jika ada yang mengatakan UiTM akan ketinggalan kerana tiada persaingan dengan luar, saya berpendapat bahawa UiTM akan ketinggalan kerana adanya budaya dan mentaliti terkepung ini.

Tidak guna jika ia dibuka kepada pelajar bukan Melayu dan bukan Bumiputera tetapi pengisiannya, budaya dan mentaliti yang diamalkan dalam UiTM masih sama. Senario begini hanya menebalkan lagi sentimen eksklusiviti dan worldview yang berpaksikan us against them. Di samping itu, perlu juga satu penelitian semula terhadap pengambilan pelajar-pelajar masuk ke dalam UiTM agar yang masuk ini benar-benar layak dan menepati matlamat penubuhan universiti tersebut.

Di kesempatan menulis ini juga, saya ingin memberikan salut khas kepada pensyarah-pensyarah bukan Melayu yang pernah mengajar saya seperti Emeritus Profesor Dr Shad Saleem Faruqi, Dr Irwin Ooi, Tuan Lee, Tuan Rama (sekadar menyebut beberapa nama) kerana meskipun terkena tempias akan ideologi cucukan anasir luar ini, mereka masih sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang anak didiknya berlainan bangsa dan agama. Daripada mereka jugalah saya belajar meraikan inklusiviti dan perbezaan pandangan secara senyap-senyap meskipun suasana di UiTM waktu itu agak “dingin” dengan suhu eksklusivitinya dan penyatuan kaum Melayu agar tidak merempat di bumi sendiri.


ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di twitternya @zharifbadrul6. Beliau juga ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua pensyarah yang pernah mengajar beliau di UiTM Merbok dan Shah Alam serta memohon maaf jika pernah ponteng kelas mereka kerana terlajak tidur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen