Pengiklanan

    Jawatankuasa tangani isu perundangan sempadan S'pura-M'sia ditubuh


    (Dikemaskini )

    Jawatankuasa Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia-Singapura antara lain bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil bagi menangani aspek perundangan dan teknikal berkaitan pembatasan antara dua negara itu.

    Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata, syor tersebut dicapai semasa mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Singapura, Isnin lalu.

    Menurutnya, jawatankuasa kecil itu akan diketuai bersama oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara Singapura.

    “Selaras dengan cadangan Kumpulan Kerja Malaysia-Singapura, jawatankuasa tersebut juga turut bersetuju dengan modaliti praktikal bagi agensi-agensi berkaitan untuk mengelak insiden yang tidak diingini di lapangan,” menurut kementerian itu.

    Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementeruan Luar Malaysia, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap, Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Keong.

    Pada mesyuarat itu, 19 anggota delegasi Malaysia itu terdiri daripada wakil Kementerian Luar, Pejabat Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pusat Hidrografi Nasional, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia.

    Wisma Putra berkata Malaysia dan Singapura bertekad untuk menyelesaikan isu sempadan maritim dan telah bersetuju dengan format mesyuarat yang dijadualkan untuk memastikan kemajuan berterusan dalam perkara tersebut.

    Ia berkata dengan permulaan jawatankuasa tersebut, semua syor di bawah kumpulan kerja yang dibentuk oleh kedua-dua Kementerian Luar itu pada 8 Jan lalu telah berjaya dilaksanakan.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih