malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kontrak jual tanah: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan bekas isteri Ghafar Baba
ADS

Bekas isteri Allahyarham Ghafar Baba gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung saman terhadap pemaju hartanah dan isteri yang didakwanya melanggari kontrak berkaitan penjualan sebidang tanah di Jelebu, Negeri Sembilan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah hari ini, Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop berkata kausa tindakan D. Heryati Abdul Rahim adalah kemungkiran kontrak dan bukan tuntutan mendapatkan semula tanah seperti yang didakwa olehnya.

Beliau berkata tempoh had untuk memfailkan saman kemungkiran kontrak adalah enam tahun dari tarikh kontrak yang dikatakan dilanggar.

Tuntutan saman Heryati telah dihalang masa, katanya, kerana ia difailkan pada 2015, melebihi enam tahun.

Ahmad menolak rayuan Heryati dan memerintahkannya membayar kos RM30,000 kepada responden, Lau Ban Tin dan isteri, Mary Lee Siew Cheng.

Ahmad berkata apabila Heryati, melalui peguamnya, mengeluarkan surat permintaan pada 2014 kepada responden yang beliau tahu tanah itu telah dipindahkan kepada Tengku Mohd Kamil Tengku Shahrudin Shah dan Tengku Ramli Tengku Shahrudin.

Beliau berkata Heryati telah bersetuju bahawa beliau tidak melakukan apa-apa dari 2006 hingga 2014 kerana menunggu responden menunaikan tanggungjawab memindahkan tanah itu kepadanya.

"Walaupun begitu, apabila beliau memfailkan tuntutannya, beliau tidak menyebut Tengku Mohd Kamil dan Tengku Ramli sebagai pihak terlibat. Jika mahukan tanah itu, beliau sepatutnya mengemukakan tuntutan kepada Tengku Mohd Kamil dan Tengku Ramli. Beliau tidak berbuat demikian," katanya.

Keputusan berkenaan disampaikan oleh baki empat hakim yang terdiri daripada Ahmad, Hakim Mahkamah Persekutuan Ramly Ali, Azahar Mohamed dan Alizatul Khair Osman Khairuddin sebagaimana Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 setelah Hakim Mahkamah Persekutuan Aziah Ali bersara.

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Feb 2015, Heryati mendakwa pasangan suami isteri itu gagal memindahkan pemilikan tanah seluas lapan hektar di Jelebu kepadanya berdasarkan perjanjian pada 20 Jun 2000.

Beliau mendakwa bahawa pada masa itu, beliau masih isteri kepada bekas timbalan perdana menteri dan memiliki bersama saham dalam syarikat Zamrudvest Sdn Bhd, yang mengendalikan francais di bawah 'EON Dealers and Franchise'.

Beliau mendakwa sekitar tahun 2000, beliau dan Ghafar memutuskan untuk menjual perniagaan itu kepada pasangan itu pada harga RM300,000. Heryati mendakwa transaksi itu tidak termasuk penjualan tanah di Jelebu (dimiliki oleh syarikat), dan pemilikan sepatutnya dipindahkan kepada beliau sebaik sahaja geran individu dikeluarkan.

Beliau berkata berdasarkan rekod rasmi pejabat tanah, tanah itu dipindahkan kepada Lau pada 19 Feb 2004, dan pada 16 April, 2013, kepada Tengku Ramli dan beliau menuntut responden mengembalikan hak milik tanah itu atau sebagai alternatif membayar pampasan berjumlah RM1 juta.

Heryati gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi pada 2016 dan di Mahkamah Rayuan pada 2017.

Mahkamah Tinggi menolak saman Heryati itu yang difailkan di luar tempoh masa, sedangkan ia sepatutnya difailkan dalam tempoh enam tahun dari tarikh kontrak yang dikatakan dilanggar pada 2005.

- Bernama

Lihat Komen