Pengiklanan

    Tangani segera isu kemurungan, rasa ingin bunuh diri

    (Dikemaskini )

    Beberapa pihak menyuarakan pendapat berbeza berhubung tindakan segelintir warganet yang bertanggungjawab mendorong seorang remaja membunuh diri di Kuching, Sarawak pada Isnin lalu.

    Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim, mengakui media sosial adalah tumpuan utama dalam kalangan hampir semua anak muda ketika ini.

    “Media sosial sesuatu perkara yang memang tidak boleh dielakkan anak muda, namun mereka yang mengunakannya mesti berwaspada agar tidak berlebihan bergantung kepada medium tersebut,” katanya ketika ditemui oleh Malaysiakini di Petaling Jaya hari ini.

    Baru-baru ini seorang remaja berusia 16 tahun terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Batu Kawa, Kuching gara-gara undian dalam talian di akaun Instagram.

    Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan, portal Suara Sarawak melaporkan remaja itu dipercayai membuat undian di akaun Instagram dengan memaparkan status: "Sangat penting, bantu saya pilih”.

    Dia kemudian menyediakan dua pilihan iaitu D atau L yang masing-masing bermaksud "mati" atau "hidup".

    Hasil undian yang dijalankan 69 peratus responden memilih D dan remaja terbabit kemudian mengambil keputusan untuk membunuh diri.

    Rakan patut peka

    Tambah Aidil, mangsa juga difahamkan mengalami kemurungan kesan daripada masalah keluarganya.

    Mengulas lanjut, Lim berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan pesakit yang mengalami kemurungan membawa kesan baik dan buruk.

    “Sisi baik adalah, mereka dapat meluahkan perasaan yang terpendam, kerana ada juga orang mengalami kemurungan akan rasa lega selepas meluahkan masalah di media sosial.

    “Sisi buruk pula ialah, setelah membuat luahan mungkin akan ada orang lain mengecam atas perilakunya dan ini akan membuatkan mereka (pesakit kemurungan) lebih tertekan,” katanya.

    Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim

    Menurutnya, orang yang mengalami kemurungan perlu berhati-hati dan jangan meluangkan masa terlalu lama dalam medium tersebut.

    Tambah Lim, 43, remaja di Sarawak itu mungkin menanggung banyak masalah sehingga terpaksa memilih sama ada untuk meneruskan hidup atau membunuh diri.

    “Undian itu sebenarnya petanda awal dia meminta bantuan. Rakannya patut peka dengan isyarat berkenaan," katanya.

    Lim menjelaskan, dalam keadaan seseorang penderita kemurungan sudah membuat keputusan dengan 90 peratus ingin membunuh diri, masih ada berbaki 10 peratus untuk dia mahu meneruskan hidup.

    "Jadi dia mungkin bergantung pada undian itu (untuk membuat keputusan akhir),” katanya.

    Jelas Lim, masyarakat kini dilihat kurang endah terhadap seseorang yang mengalami kemurungan.

    “Kemurungan ini bukan perkara biasa, masyarakat perlu ada kesedaran tentang bahaya penyakit ini.

    “Masyarakat sekurang-kurangnya perlu diberi pendidikan awal agar mereka tahu bagaimana untuk membantu golongan terbabit,” katanya.

    Bukan salah pengikut IG sepenuhnya

    Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kajian menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

    Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

    Lim berkata, kerajaan wajar mengambil ikthibar daripada kejadian di Sarawak itu dan menggiatkan usaha membantu penderita kemurungan.

    “Saya berharap kerajaan dapat menambah jumlah pakar psikiatrik dan pakar kaunseling di hospital kerajaan.

    “Mungkin kerajaan juga boleh memperkenalkan insurans untuk melindungi golongan ini kerana ia dapat meringankan kos perubatan mereka," katanya.

    Lim berkata demikian kerana dia melihat syarikat insurans di Malaysia setakat ini tidak menyediakan pelan insurans yang menyeluruh buat golongan pesakit mental khususnya yang mengalami kemurungan.

    Hari ini, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa pihak berwajib, terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat akaun media sosial remaja yang membunuh diri itu.

    Beliau berkata pengguna media sosial yang mengundi di akaun remaja berkenaan perlu didakwa di mahkamah.

    Sementara itu, ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Dr Hussain Habil (gambar), menjelaskan rakyat tidak boleh menyalahkan pengikut Instagram mangsa sepenuhnya.

    “Kita juga tidak tahu adakah mangsa membunuh diri disebabkan undian di Instagram atau memang tidak tahan untuk hidup bersama keluarganya.

    “Apabila kita berurusan dengan anak muda, mereka selalu bersifat gopoh membuat keputusan.

    “Dalam kes ini dilihat rakannya seperti menganggap undian itu adalah satu perkata yang tidak serius,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Jelas Hussain, perkara tersebut disifatkan sebagai negatif psikologi.

    Sebagai contoh, katanya, apabila seseorang yang mengalami kemurungan menyatakan hasrat ingin membunuh diri, orang yang diberitahu akan memberi galakan kerana menganggap langkah itu sebaliknya akan membuat penderita terbabit membatalkan niatnya.

    '“Teknik ini sebenarnya tidak boleh digunakan buat orang yang murung kerana mereka memerlukan bantuan bukan dalam cara berkias begitu,” katanya.

    Hussain yang merupakan bekas presiden Persatuan Psikiatrik Asean berkata media sosial tidak wajar dijauhi buat golongan yang mengalami kemurungan itu.

    “Media sosial dapat memberi banyak alternatif buat mereka (pesakit kemurungan) antaranya dari segi mendapatkan bantuan.

    “Apa yang kita boleh buat adalah belajar daripada kes ini dan mengkaji bagaimana cara untuk menghindarinya agar tidak berlaku lagi,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih