Pengiklanan

    Lapor segera catatan cenderung ke arah bunuh diri - SKMM

    (Dikemaskini )

    Pengguna media sosial dinasihat lebih prihatin dan peka kepada sebarang catatan di media sosial yang dilihat cenderung ke arah tindakan membunuh diri bagi mengelak insiden sepertimana berlaku di Sarawak, semalam, berulang.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata laporan perlu dibuat terus kepada polis dan kepada anggota keluarga dan sahabat handai individu yang terlibat.

    Laporan terhadap sebarang kandungan jelik, sumbang ataupun menjurus kepada buli siber, juga boleh terus dibuat secara atas talian menerusi e-mel [email protected] atau WhatsApp SKMM di talian 016-2206 262, menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, seorang remaja perempuan ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di tempat letak kereta di MJC, Batu Kawa, Kuching dipercayai selepas memuat naik status “Really important, Help me to choose D(Death) or L (Life)”di “Instagram Story” yang mendapat undian 69 peratus untuk D.

    SKMM berkata pihaknya bersedia memberi apa-apa bantuan daripada segi teknikal sekiranya diperlukan pihak polis yang kini sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sama ada undian di Instagram tersebut mempunyai unsur-unsur subahat.

    “Untuk makluman, di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan denda,” kata suruhanjaya berkenaan.

    SKMM menasihatkan mereka yang berhadapan masalah kemurungan untuk mendapatkan bantuan kaunseling dan emosi daripada kumpulan sokongan seperti The Befrienders yang boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected], perjumpaan secara terus mahupun talian hotline 24 jam di 03-7956 8145.

    SKMM turut mengingatkan pengamal media supaya lebih peka dengan penyiaran gambar atau visual mangsa dalam laporan mereka bagi menjaga privasi dan perasaan kaum keluarga yang terlibat.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih