Pengiklanan

    Isu LGBT: Orang luar tiada hak beri tekanan, kata Anwar

    (Dikemaskini )

    Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya agar Malaysia tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa berkaitan isu LGBT.

    "Kita perlu bebas, dan membuat keputusan apa yang terbaik untuk negara kita, mewakili aspirasi rakyat kita sendiri," katanya kepada pemberita dalam majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor, hari ini.

    Jelas Anwar, meskipun Malaysia perlu mengambil kita pandangan komuniti antarabangsa, mereka tidak mempunyai hak bagi memberi tekanan.

    Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pelakon Hollywood George Clooney yang menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia mempertimbangkan hukuman mati untuk golongan homoseksual seperti dilaksanakan Brunei.

    The Star sebelum ini memetik Anwar mengakui bahawa ada isu berkenaan mempunyai kaitan dengan kemanusiaan dan hak asasi manusia.

    Namun, kata beliau: "Tetapi untuk mencadangkan bahawa Amerika atau negara lain memberi tekanan kepada terma kita, untuk kita mematuhi, saya tidak rasa kita boleh mentadbir (negara) seperti itu.

    "Kita perlu sedar bahawa kita mempunyai sistem sendiri dan kepimpinan bebas untuk mempertahankan kehendak negara dan rakyat.

    "Mereka boleh beri cadangan, tapi, kita tidak perlu tunduk kepada tekanannya.

    "Kita perlu sentiasa mempertahankan negara kita dan tidak perlu berasa tertekan dengan reaksi orang luar," tambahnya.

    Semalam, Timbalan Menteri Luar Negara, Marzuki Yahya mengingatkan bahawa Clooney perlu lebih waspada dengan kenyataannya.

    Clooney sebelum ini menyeru untuk memboikot hotel-hotel mewah yang dimiliki oleh Brunei, sejak kerajaan negara itu mempertahankan pelaksanaan hukuman mati untuk homoseksual.

    Clooney mendakwa boikot Brunei adalah satu "tembakan amaran" kepada Indonesia dan juga Malaysia.

    Di Malaysia tiada undang-undang terhadap homoseksual, tetapi, seks di luar tabii dianggap sebagai jenayah di bawah kanun keseksaan.

    Anwar sendiri telah dituduh berkaitan liwat, tetapi dibebaskan selepas pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum yang lalu.

    Presiden PKR itu sentiasa menegaskan bahawa tuduhan ke atasnya termasuk pertuduhan liwat yang pada tahun 1999, direka oleh seteru politiknya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih