malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penjawat awam Negeri Sembilan dapat setengah bulan gaji
Diterbitkan:  May 15, 2019 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM
ADS

Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentabdiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bantuan itu meliputi 3,481 penjawat awam dengan peruntukkan sebanyak RM5.3 juta.

“Ia akan dibayar pada hari ini, Insha-Allah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seremban, hari ini.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang ke-14 pada 17 Dis tahun lalu, Aminuddin telah mengumumkan BKK sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Bantuan khas berkenaan dibayar dalam dua peringkat iaitu separuh gaji atau RM1,000 pada minggu pertama bulan Januari tahun ini dan baki separuh gaji atau RM1,000 lagi akan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, menteri besar berkata kerajaan juga memutuskan bahawa mantai perdana akan diteruskan.

“Pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju meneruskan program mantai perdana yang mana kali ini dibuat di setiap daerah dan ada daerah seperti Seremban kita telah tetapkan empat kawasan (mantai perdana)...jadi kita tak nak lagi mereka tertumpu dalam satu kawasan dan memudahkan pembeli.

“Selain jualan daging, ada juga jualan ayam, telur, sayuran akan diadakan. Bagaimana pun kita akan perincikan dan kami akan maklumkan kepada wartawan perinciannya nanti,” katanya.

Mantai begitu sinonim dengan penduduk di Negeri Sembilan apabila menyambut kedatangan Syawal.

Perkataan mantai berasal daripada perkataan membantai iaitu hari atau malam untuk menyediakan daging sembelihan pada hari sebelum menjelangnya Ramadan dan Syawal setiap tahun.

- Bernama

Lihat Komen