Pengiklanan

    Kastam sukar dapat maklumat aktiviti seludup manusia


    (Dikemaskini )

    RCI WANG KELIAN | Hari ke-10 pendengaran awam mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, diberitahu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima maklumat berhubung penyeludupan dan pemerdagangan manusia di kawasan terbabit.

    Bagaimanapun, kata saksi ke-29, Mohd Pudzi Man, maklumat yang diterima pihaknya sangat sedikit dan samar-samar.

    “Sejak saya bertugas mulai Sept 2011 hingga Jun 2016 kami hadapi masalah sukar mengumpul maklumat dan membuat risikan berkaitan penyeludupan manusia berbanding barang-barang lain seperti dadah, mercun atau barang bercukai lain.

    “Orang ramai ada salurkan maklumat tapi itu pun samar-samar, berbeza untuk kes penyeludupan lain,” katanya di hadapan panel RCI diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria di Putrajaya.

    Dalam pada itu, Pudzi yang juga bekas pengarah JKDM Perlis berkata walaupun pihaknya terlibat dalam hal-hal penguatkuasaan berkaitan penyeludupan bersama polis dan Jabatan Imigresen dalam Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), tetapi maklumat mengenai kem penyeludupan manusia itu sukar diperolehi.

    Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendesak pegawai-pegawainya mendapatkan maklumat itu, tetapi masih samar-samar.

    "Kami ada dapat maklumat mengenai kenderaan mengambil pendatang asing tanpa izin (Pati) di Wang Kelian, tetapi kalau serbu pun kita tak ada kes (penyeludupan manusia).

    "Pada pandangan saya memang semua agensi akan berjaga-jaga dan kalau berlaku secara besar-besaran mungkin kita akan boleh kesan," katanya.

    Sengaja mahu ditangkap

    Pudzi berkata beliau hanya mengetahui penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian melalui laporan media.

    Katanya penemuan itu memang amat memeranjatkan dan tidak menjangka wujud kem penyeludupan manusia secara besar-besaran di Perlis.

    "Sebab sebelum ini kes kecil-kecil sahaja," katanya.

    Sementara itu saksi ke-30, seorang lagi bekas pengarah JKDM Perlis, Mohd Amir Othman, kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) merupakan tarikan utama kepada pendatang asing masuk ke negara ini.

    Malah, kata Mohd Amir, kebanyakan mereka yang ditempatkan di depoh tahanan imigresen didakwa datang ke Malaysia secara haram atas kehendak sendiri dan bukan dipaksa mana-mana sindiket.

    “Ada cerita yang kita dapati mereka ini dah diajar atau diaturkan untuk bercakap dengan kita apabila disiasat, cakap bukan datang dengan ajen sebaliknya secara sukarela atau dia sendiri yang bayar untuk masuk Malaysia.

    “Dan mereka ini sebenarnya memang nak datang Malaysia dan sukarela datang. Malah, ada yang kami lihat sengaja datang untuk suruh kita tangkap mereka. Sebab kalau ditangkap mereka akan ditempatkan di depoh tahanan, yang mereka anggap hidup lebih senang.

    "Kemudian dapat pula kad UNCHR sebelum dilepas dan dibebaskan.

    "Jadi, bagi saya kad UNHCR dah jadi salah satu tarikan kepada mereka untuk datang ke Malaysia,” katanya ketika disoal apakah pihaknya menyiasat sama ada mereka dibawa secara paksa oleh sindiket atau menggunakan ejen lain.

    Hari ini, enam saksi memberi keterangan. Empat lagi saksi ialah bekas timbalan pengarah Jabatan Perhutanan, Muhammad Sayuti Yusoff; Pegawai Rela Daerah Padang Besar, Saad Taib; Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali; dan Penolong Pengarah Jabatan Ukur Sempadan Darat Antarabangsa Mohd Hafiz Mat Arifin.

    Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih