malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Statut Rom: Kerajaan dengar penjelasan PBB hari ini
Diterbitkan:  May 15, 2019 4:22 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Kementerian Luar Negeri meminta Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara ini untuk memberi penjelasan berhubung status penarikan diri Malaysia daripada menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan pihak terbabit dipanggil untuk memberi penjelasan, berhubung pengekalan Malaysia sebagai ‘negara pihak’ kepada triti itu seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB walapun kerajaan telah mengemukakan surat penarikan diri.

"Dalam perkara ini, Resident Coordinator PBB di Malaysia akan diminta untuk memberi penjelasan kepada Kementerian Luar Negeri pada hari ini, 15 Mei, mengenai proses dan status terkini penarikan diri Malaysia dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa," kata kenyataan itu.

Pada 5 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik balik penyertaannya dalam Statut Rome.

Susulan itu, kerajaan mengemukakan surat penarikan diri Malaysia daripada menyertai Statut Rome kepada Setiausaha Agung PBB pada 29 April, selaku depositori bagi triti itu, setelah mengambil kira semua langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan proses penarikan diri.

"Walaupun Malaysia telah mengemukakan surat penarikan diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa kepada pihak PBB, namun pengekalan Malaysia sebagai negara kepada pihak triti tersebut seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB adalah sangat mengecewakan," kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, perdana menteri melahirkan rasa kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja-Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu melalui Statut Rom.

Mahathir berkata disebabkan kekeliruan yang timbul, kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Perdana menteri menegaskan, Statut Rom hanya memberi kesan kepada negara peserta yang melakukan diskriminasi atau pembersihan etnik di negara mereka.

Keputusan kerajaan untuk mengiktiraf Statut Rom mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk dari parti pembangkang.

Lihat Komen