malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Perbincangan soal peralihan kuasa berjalan baik
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata perbincangan berkenaan peralihan kuasa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjalan dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh peralihan kuasa itu.

“(Perbincangan) soal tarikh dan peralihan kuasa mengenai pelantikan perdana menteri sedang berlaku dengan baik.

"Biarlah Dr Mahathir berbincang dengan saya seperti yang sedang berlaku," katanya selepas ditanya pemberita di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson itu turut berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang halangan berbincang isu peralihan kuasa.

"Saya ingat hari ini harus saya jelaskan. Kerana ada orang kata saya tak komen lepas perdana menteri jawab. Perdana menteri dah bagi penjelasan dan saya sambut baik," katanya.

Dalam wawancara khas bersama media sempena ulang tahun pentadbiran PH baru-baru ini, Dr Mahathir sekali lagi memberi jaminan bahawa Anwar akan menggantikan beliau sebagai perdana menteri.

"Saya telah berpegang kepada janji bahawa akan letak jawatan dan beri laluan kepada Anwar, ia perkara yang agak pasti.

"Tiada perbincangan tentang siapa yang akan jadi pengganti saya atau apa yang akan dilakukan.

"Dia (Anwar) tidak perlu mengikut arahan saya atau ikut apa yang telah saya lakukan. Dia bebas untuk buat apa yang difikirnya terbaik sebagai perdana menteri...," kata Dr Mahathir.

Tambah Dr Mahathir, selepas peralihan kuasa berlaku, beliau tidak akan campur tangan lagi dalam pentadbiran negara.

Peranan Dr Mahathir

Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan bahawa peranan Dr Mahathir tetap akan ada dalam pentadbirannya.

"Andai kata, saya mengambil alih pun peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita. Jadi saya tidak fikir isu ini masalah," kata Anwar secara ringkas.

Sementara itu, Anwar turut berpendapat bahawa kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan peraturan melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

"Saya rasa perlu ada perbincangan dengan SPR dan pemegang kepentingan. Apa jua proses dan keputusan perlu adil.

"Saya percaya itulah kembimbangan Perdana Menteri," kata Anwar ketika mengulas kenyataan Mahathir yang menyatakana rasa tidak puas hati dengan peraturan SPR.

"Kalau menteri nak kempen sepanjang waktu tidak betul juga. Kalau mereka nak buat macam itu, mereka perlu ambil cuti. Kalau ia sebahagian daripada program mereka boleh diterima," katanya.

Lihat Komen