malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: Goldman Sachs mahu saman pemegang saham digugurkan
Diterbitkan:  May 15, 2019 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM
ADS

Lembaga pengarah Goldman Sachs Group Inc memohon Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat untuk menggugurkan saman derivative (derivative suit) seorang pemegang saham berkaitan dakwaan kaitan bank tersebut dengan skandal 1MDB.

Menurut portal berita perundangan Law360, saman yang difail sebuah dana pencen dari Georgia Februari lalu berkenaan peranan Goldman Sachs dalam tiga penjualan bon untuk 1MDB pada 2012 dan 2013.

Saman yang difailkan di New York itu mendakwa siasatan sepintas lalu sepatutnya dapat memberi amaran kepada bank itu berkenaan tawaran "amat meragukan" telah diperolehi melalui dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan pegawai peringkat tinggi Malaysia dan Abu Dhabi.

Saman derivatif ialah saman yang difailkan oleh pemegang saham bagi pihak syarikat dan ditujukan kepada pihak ketiga, yang biasanya merupakan pihak dalam syarikat itu sendiri.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini menyatakan Goldman meraih kira-kira AS$600 juta untuk kerjanya dengan 1MDB, termasuk dalam tiga tawaran bon tersebut.

Semalam Law360 melaporkan, lembaga pengarah dalam usulnya berkata saman itu gagal mengaitkan pengarah Goldman Sachs dengan sebarang dakwaan salah laku berkenaan perkara itu.

Mereka sebaliknya meletakkan kesalahan kepada dua pekerja Goldman yang "menutup salah laku".

Ia merujuk kepada bekas eksekutif Tim Leissner dan Roger Ng. Leissner telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan jenayah oleh DOJ manakala Ng mengaku tidak bersalah, walaupun dia dilaporkan merunding rayuan dengan pihak pendakwaan.

"Mengandaikan pengarah syarikat tidak bertindak betul - iaitu apa yang dibuat saman itu - hanya kerana salah laku kakitangan tidak selari dengan undang-undang," kata pengarah itu seperti dipetik Law360.

Saman derivatif itu menuntuk sebelas anggota lembaga pengarah goldman untuk mengembalikan gaji dan pampasan yang diterima ketika bank tersebut mengendalikan penawaran "amat meragukan" dan tidak bertindak ketika "pelbagai petanda (red flag)" muncul selepas itu.

"Petanda tersebut termasuk amaran Federal Reserve Amerika Syarikat terhadap Goldman pada 2014 berkenaan semakan tidak memadai, atau ketika bekas pengerusi Goldman Asia Tenggara, Leissner disapina pada 2016," kata Law360.

Bagaimanapun lembaga pengarah Goldman dilaporkan berkata tiada bahagian dalam saman itu yang mencadangkan berlaku konflik kepentingan di kalangan pengarah, dan dana pencen (pihak yang memfailkan saman) secara undang-undang perlu membawa desakan mereka kepada lembaga sebelum pemfailan.

"Plaintif sebaliknya menganggap, oleh kerana salah laku kakitangan - lembaga pengarah telah gagal mewujudkan kawalan yang sewajarnya," kata lembaga pengarah Goldman lagi.

Lihat Komen