malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lim gesa keputusan PRU Zahid, Hisham dan Ismail disiasat
Diterbitkan:  May 15, 2019 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat inkuiri berkenaan dakwaan penglibatannya dengan laporan pemindahan pengundi tentera secara tidak sah di empat kerusi parlimen, dan sama ada keputusan di kerusi tersebut perlu diisytihar batal.

Empat kerusi Parlimen itu disandang pemimpin BN sebelum PRU ke-14 - Bagan Datuk (Ahmad Zahid Hamidi), Sembrong (Hishammuddin Hussein), Segamat (Dr S Subramaniam) dan Bera (Ismail Sabri Yaakob). Hanya Subramaniam yang tewas pada PRU lalu.

Gesaan Lim itu susulan laporan bahawa siasatan terhadap Kementerian Pertahanan mendapati pegawai SPR terlibat dalam pemindahan pengundi tentera.

"Pakatan seperti itu antara pegawai SPR dengan Kementerian Pertahanan untuk mengekalkan sokongan secara tidak sah dan tidak demokratik terhadap menteri kabinet menjelang PRU ke-14 bukan saja salah guna kuasa kerajaan (ketika itu) tetapi pencabulan proses demokratik.

"Zahid, Hishammuddin dan Ismail (juga) perlu menyatakan sama ada mereka mengalu-alukan inkuiri untuk (memutuskan) sama ada pilihan raya mereka tidak demokratik dan maka perlu diisytihar tidak sah dan batal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, pengerusi SPR Azhar Harun berkata mereka akan menunggu laporan siasatan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Menurut The Malaysian Insight, dakwaan tersebut sebahagian daripada laporan jawatankuasa siasatan khas tadbir urus, pemerolehan dan kewangan yang diketuai bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen