malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jangan heret Amanah dalam isu kartel dedak'
Diterbitkan:  May 14, 2019 9:28 PM
Dikemaskini: 3:19 PM
ADS

Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad perlu menunjukkan bukti Amanah terlibat dalam menyebarkan poster mengaitkan lima pemimpin PAS yang dikatakan terbabit 'kartel dedak', kata Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Bahrin yang juga pengerusi Amanah Terengganu dipetik laporan Sinar Harian berkata Zaharudin jangan menyeret Amanah dalam masalah dalaman PAS.

"Saya lihat isu ini melibatkan masalah dalaman dia (Zaharudin) bersama parti.

"Jangan heret kami (Amanah) ke dalam isu ini. Jika benar ada penglibatan Amanah, siapa orangnya dan apa buktinya?" Soalnya.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu juga mempertikaikan penjelasan terbaru Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.


BACA BERKAITAN:

Zaharudin: MB T'ganu, Khalil bukan ahli 'kartel dedak'

Hadi nafi beri restu pada menantu

PAS akan panggil menantu Hadi jelaskan isu 'kartel dedak'


Semalam, Zaharudin tampil menafikan dua nama yang dikaitkan dalam senarai ahli 'kartel dedak' yang didedahkannya sebelum ini.

Kenapa baru sekarang timbul?

Melalui hantaran Facebook, Zaharudin menafikan “Dr Hussam II” dan “Mr. KT” dalam senarai yang didedahkannya merujuk kepada Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan adik iparnya yang juga Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi.

Bagaimanapun, Raja Bahrin pada hari ini enggan mengulas dakwaan mengenai lima individu yang dikaitkan dengan 'kartel dedak' tersebut, sebaliknya mempertikaikan pendedahan Zaharudin (gambar) yang "menimbulkan pelbagai kontroversi."

"Pada bulan yang mulia ini, kita perlu cermat menjaga lidah dan mulut.

"Apa yang saya persoalkan ialah mengapa kaitkan Amanah dalam isu ini dan mengapa hanya menggunakan 'initial' terhadap lima individu terbabit sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi.

"Sekiranya beliau (Zaharudin) mengetahui perkara ini sejak lama, mengapa pula baru sekarang beliau mahu dedahkan?

"Mengapa cerita sebenar disembunyikan daripada pengetahuan ahli dan penyokong PAS selama ini," katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, anak menantu Abdul Hadi itu menuduh Amanah bertanggungjawab dalam mengaitkan nama-nama yang ada dalam senarai itu.

“Ini palsu. Tak sama dengan apa yang saya maksudkan.

"Takkan menteri besar Terengganu terlibat? Takkan adik ipar ana (saya) sendiri terlibat. Jangan percaya (dakwaan) Amanah,” tulisnya.

Lihat Komen